ASEAN perlu tangani kebakaran hutan, jerebu

KUALA LUMPUR, 16 SEPT – Cara terbaik untuk meminimumkan risiko jerebu rentas sempadan yang semakin teruk di rantau ASEAN adalah dengan menangani punca fizikal dan politik berhubung isu kebakaran hutan dan jerebu.

Pensyarah Kanan Jabatan Pengajian Antarabangsa dan Strategik Universiti Malaya Dr Helena Varkkey berkata visi ASEAN bagi rantau bebas jerebu menjelang 2020 banyak bergantung kepada ilti-zam politik Indonesia untuk menangani kebakaran di dalam negara itu secara berkesan dan menerima bantuan tepat pada waktunya.

Dalam masalah jerebu merentas sempadan yang sedang melanda, Indonesia dilihat keberatan untuk menerima bantuan Malaysia.

“Kita tidak pasti sekiranya akan berlaku satu lagi pusingan kebakaran besar pada tahun depan. Bagaimanapun, sama ada ini akan mengakibatkan jerebu di rantau ini akan banyak bergantung pada usaha pencegahan oleh pihak Indonesia, yang diharapkan dapat melaksanakannya dengan sebaik mungkin apabila kebakaran dipadamkan sepenuhnya.

“Tetapi kita perlu ingat tahun bebas jerebu rentas sempadan, malah sekiranya 2020 adalah bebas jerebu, tidak bermakna tahun berikutnya juga bebas jerebu,” katanya dalam temu ramah dengan Bernama menerusi e-mel.

Lebih 4,000 titik panas dikesan di kawasan tengah dan barat Indonesia dengan pihak berkuasa tempatan menugaskan anggota untuk memadamkan kebakaran yang menyebabkan jerebu menyelubungi rantau ini. – Bernama

Keadaan Bandaraya Kuala Lumpur diliputi jerebu tebal akibat pembakaran hutan yang tidak terkawal. – AP