Asean, rakan kongsi iktiraf kepentingan RCEP

KUALA LUMPUR, 27 OGOS – Menteri-menteri ekonomi negara-negara anggota ASEAN, Australia, China, Jepun, Korea Selatan, dan New Zealand telah mengiktiraf kepentingan kritikal Perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) berikutan ketidaktentuan yang dibawa oleh pandemik COVID-19.

Satu kenyataan bersama daripada menteri-menteri berkenaan yang telah bertemu hari ini berkata, pemeteraian RCEP akan meningkatkan keyakinan perniagaan, mengukuhkan struktur ekonomi serantau dan mengekalkan kestabilan rangkaian industri, bekalan serantau serta global termasuk mencerminkan sokongan rantau ini terhadap sistem perdagangan pelbagai hala yang terbuka, inklusif dan berasaskan peraturan.

“Menteri-menteri tersebut turut menggariskan peranan penting yang boleh dimainkan daripada Perjanjian RCEP dalam usaha pemulihan selepas pandemik termasuk menyumbang kepada pertumbuhan dan kestabilan ekonomi serantau serta global,” kata kenyataan itu.

Mereka juga mengakui cabaran yang dibawa oleh COVID-19 telah menjejaskan prestasi perdagangan dan pelaburan di kalangan negara yang mengambil bahagian dalam RCEP.

“Cabaran ini telah menjadikan ia penting bagi negara di rantau ini, termasuk mereka yang mengambil bahagian dalam rundingan RCEP, untuk bukan sahaja mengekalkan keterbukaan pasaran mereka, terutamanya membabitkan barangan dan perkhidmatan penting, tetapi juga meningkatkan kerjasama dan usaha dalam perjuangan menentang pandemik COVID-19 secara global,” katanya.

Menteri-menteri itu turut teruja dengan kemajuan ketara yang dibuat ke arah memuktamadkan perjanjian RCEP untuk ditandatangani pada sidang kemuncak RCEP keempat menjelang November 2020.

“Mereka juga mengulangi bahawa RCEP kekal terbuka kepada India, memandangkan bukan sahaja negara itu telah mengambil bahagian dalam rundingan RCEP sejak ia dilancarkan pada 2012, tetapi juga sebagai pengiktirafan kepada potensi India dalam menyumbang kepada kemakmuran rantau ini,” tambahnya lagi. – Bernama