Friday, April 19, 2024
24 C
Brunei

    -

    ASEAN rancakkan semula sektor pelancongan

    Oleh Sim Y. H.

    Sejak seluruh dunia dibelenggu penularan wabak COVID-19, sektor pelancongan terjejas teruk berikutan peningkatan ketara kes jangkitan.

    Justeru sebagai usaha untuk menghidupkan kembali industri pelancongan serantau ini, kerjasama dan usaha bersepadu yang erat antara negara khususnya anggota ASEAN harus dilaksanakan.

    Sehubungan itu, baru-baru ini, menteri-menteri Pelancongan ASEAN telah mengumumkan pembukaan semula pelancongan ASEAN secara berperingkat di mana ia akan dilaksanakan mengikut dasar dan peraturan perjalanan, keadaan COVID-19 bagi setiap negara anggota ASEAN, protokol kesihatan setiap negara anggota, dasar dan peraturan perjalanan pada masa ini serta perkembangan COVID-19 terkini.

    Perkara itu di antara yang dipersetujui dan ditekankan dalam Kenyataan Media Bersama bagi Mesyuarat Menteri-Menteri Pelancongan ASEAN Ke-25 (25th M-ATM) yang dipengerusikan oleh Kemboja dengan Naib Pengerusi Indonesia yang berlangsung di Shianoukvillem, Kemboja pada 19 Januari lalu.

    Dengan membawa tema, ASEAN-A Community of Peace and Shared Future, mesyuarat yang disertai oleh menteri-menteri pelancongan ASEAN menumpukan kepada perbincangan mengenai perkembangan sektor pelancongan sejak pandemik COVID-19 melanda rantau berkenaan pada awal 2020.

    Mesyuarat juga mengongsi maklumat mengenai kesan COVID-19 kepada negara-negara anggota ASEAN yang terkesan dan bertukar-tukar pandangan mengenai cara ke hadapan bagi rantau berkenaan untuk pulih.

    Menteri Pelancongan Kemboja, Thong Khon bercakap semasa Mesyuarat Menteri-Menteri Pelancongan ASEAN Ke-25 (25th M-ATM) di Sihanoukville, Kemboja. – Xinhua
    Mesyuarat Menteri-Menteri Pelancongan ASEAN Ke-25 (25th M-ATM) yang dipengerusikan oleh Kemboja dengan Naib Pengerusi Indonesia yang berlangsung di Shianoukvillem, Kemboja pada 19 Januari lalu. – Xinhua
    ASEAN akan terus memasarkan Asia Tenggara sebagai sebuah destinasi tunggal dan meningkatkan kesedaran rantau berkenaan yang memberikan pelbagai tawaran kepada pengembara untuk dikenali apabila sempadan dibuka semula di serata dunia. – Agensi

    Mesyuarat mengambil maklum berdasarkan kepada perangkaan awal bagi 2021, sektor pelancongan terus mengalami kemerosotan dalam hasil pelancongan sebanyak kira-kira 94.33 peratus serta penurunan menjunam bagi ketibaan pelancongan sebanyak kira-kira 90.03 peratus dengan kadar purata penginapan hotel sebanyak 27.45 peratus walaupun program vaksinasi negara-negara anggota ASEAN membenarkan pelancongan domestik.

    Walaupun berhadapan dengan cabaran pada 2021, mesyuarat itu memuji peranan aktif Organisasi Pelancongan Kebangsaan ASEAN (NTOs) dan Jawatankuasa serta Kumpulan Kerja dalam memastikan Pelan Strategik Pelancongan ASEAN (ATSP) 2016-2025 dan rancangan-rancangan utama yang lain terus dilaksanakan menurut garis masa yang dikemaskinikan.

    Mesyuarat juga mengambil maklum sektor pelancongan telah menyesuaikan diri dan menumpukan kepada model perniagaan baharu supaya ia bersedia untuk kembali dengan lebih kukuh bagi merangkul pertumbuhan.

    Dalam hubungan itu, mesyuarat menekankan pentingnya bagi mempercepatkan pelaksanaan Pelan Pemulihan Pasca-COVID-19 bagi Pelancongan ASEAN yang telah dipersetujui pada September 2021 di mana ia menggalakkan ASEAN BTOs dan badan-badan subsidarinya untuk terus mengukuhkan kerjasama dan kolaborasi dengan semua pihak yang berkepentingan yang relevan supaya dapat menyumbang ke arah pemulihan sektor pelancongan dengan lebih komprehensif.

    Mengulas lanjut mengenai dengan pembukaan semula Pelancongan ASEAN, menteri-menteri bersidang menekankan tumpuan khas diberikan kepada menyokong pelancongan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) dan mempromosikan peluang yang saksama supaya dapat meningkatkan pekerjaan bagi komuniti setempat khususnya bagi wanita, belia, golongan minoriti dan kumpulan-kumpulan terdedah.

    Mesyuarat juga menekankan perlunya untuk memanfaatkan teknologi digital bagi meningkatkan kapasiti dan keupayaan pekerja pelancongan menerusi peningkatan serta pemberian kemahiran supaya memastikan bahawa mereka terus relevan dalam landskap pasca pandemik.

    Dalam menempatkan ASEAN sebagai Destinasi Pelancongan Tunggal menjelang 2025, menteri-menteri yang bersidang mengambil maklum akan perkembangan yang dicapai bagi tujuh program tindakan strategik di bawah ATSP 2016-2025 yang dikemaskinikan serta mengalu-alukan cadangan untuk mengutamakan pelaksanaan ATSP 2016-2025 mengikut perkembangan serta trend terkini rantau.

    Program-program keutamaan baru yang dikenal pasti ialah pelaksanaan langkah dan inisiatif untuk menyokong pendigitalan Pelancongan ASEAN, mengukuhkan rangkaian maklumat dan data serta aktiviti-aktiviti untuk mempromosikan kesalinghubungan dan memudahkan perjalanan ke dan dalam ASEAN.

    Mesyuarat menggalakkan negara-negara anggota ASEAN bersama dengan sektor swasta untuk mengukuhkan kolaborasi dalam pemasaran dan mempromosikan tawaran pelancongan serantau terutamanya apabila perjalanan global kembali semula.

    Ke arah itu, menteri-menteri yang bersidang memuji pelancaran jenama pelancongan ASEAN baharu, Visit Southeast Asia, menerusi logo yang diperbaharui dan tagline, A Destination for Every Dream, bagi merangkum kemesraan, daya tahan dan rasa keseronokan yang menjadi lambang rantau serta penduduk Asia Tenggara.

    Menerusi penjenamaan baru itu, ASEAN akan terus memasarkan Asia Tenggara sebagai sebuah destinasi tunggal dan meningkatkan kesedaran rantau berkenaan yang memberikan pelbagai tawaran kepada pengembara untuk dikenali apabila sempadan dibuka semula di serata dunia.

    Mesyuarat turut mengambil maklum akan aktiviti berkaitan pelayaran yang tergendala di mana ia merupakan peluang untuk mengumpulkan agensi-agensi yang relevan untuk bekerja ke arah pemulihan mapan sektor pelayaran yang akan membawa manfaat jelas kepada destinasi-destinasi di serata ASEAN.

    ASEAN Tourism telah bekerja rapat dengan negara-negara anggota ASEAN untuk mempromosikan pelaksanaan sebuah standard pelayaran yang konsisten, selaras dan selamat di kesemua pelabuhan di serata Asia Tenggara.

    Dalam meningkatkan lagi kemapanan ASEAN dan pelancongan inklusif, menteri-menteri yang bersidang menekankan bahawa dalam fasa pembukaan semula, asas pelancongan mapan dan ekonomi hijau akan ditetapkan di mana ia akan mengambil keutamaan selepas memelihara nyawa dan kehidupan serta mengetengahkan pentingnya usaha untuk memupuk kemapanan dan pertumbuhan hijau dengan ASEAN mengalihkan tumpuan dasar ke arah sebuah sektor pelancongan yang berdaya ta-han, kompetitif, efisien sumber, inklusif dan neutral karbon.

    Mesyuarat itu juga mengambil maklum akan perkembangan dalam pelaksanaan tiga program tindakan strategik untuk memastikan pelancongan ASEAN yang mapan dan inklusif khususnya dalam bidang-bidang meningkatkan penglibatan sektor awam-swasta dan komuniti setempat dalam rantaian nilai pelancongan, memastikan keselamatan dan sekuriti, mengutamakan perlindungan dan pengurusan tapak-tapak warisan serta meningkatkan respons kepada perlindungan alam sekitar dan perubahan iklim.

    Mesyuarat itu juga menggalakkan negara-negara anggota ASEAN untuk melibatkan secara aktif pihak yang berkepentingan tempatan termasuk sektor swasta di peringkat komuniti bagi menyumbang kepada pembangunan pelancongan di dalam rantau berkenaan.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Polis Australia selesaikan misteri kokain hanyut

    SYDNEY, 18 APRIL - Polis Australia telah menahan seorang lelaki didakwa menjadi dalang di sebalik komplot penyeludupan dadah yang gagal, mengakibatkan batu-bata kokain misteri...