Wednesday, April 24, 2024
29.7 C
Brunei

    -

    ASEAN selar kurangnya kemajuan damai di Myanmar

    PHNOM PENH, 5 OGOS – Menteri-menteri Asia Tenggara hari ini mengecam kurangnya kemajuan dalam pelan resolusi di Myanmar yang dicengkam rampasan kuasa, menuntut junta mengambil tindakan segera sebelum satu sidang kemuncak serantau hujung tahun ini.

    Myanmar sudah berada dalam huru-hara sejak rampasan kuasa tentera dalam Februari tahun lalu dan angka kematian daripada tindakan keras tentera ke atas penentang sudah pun melebihi 2,100 orang, menurut kumpulan pemantauan tempatan.

    Kemarahan meningkat dalam kalangan beberapa negara anggota ASEAN atas sikap tidak acuh jeneral, khususnya selepas hukuman mati bulan lalu ke atas empat banduan – termasuk dua orang tokoh pro-demokrasi terkenal.

    Blok 10 anggota – mengetuai satu usaha yang belum menampakkan hasil untuk menangani krisis di Myanmar – telah mengeluarkan satu kenyataan bersama selepas sidang kemuncak menteri-menteri luar di Phnom Penh.

    Menurut kenyataan itu, ASEAN amat kecewa dengan kemajuan terhad dan kurangnya komitmen pihak berkuasa di Naypyidaw untuk melengkapkan pelaksanaan konsensus lima perkara dalam tempohnya. Dalam satu amaran tersirat kepada Myanmar, kenyataan – merujuk kepada Artikel 20 Piagam ASEAN – menekankan bahawa mesyuarat kepimpinan hujung tahun ini mungkin masih mengambil tindakan ke atas ‘ketidakpatuhan.’

    Keputusan ASEAN lazimnya diambil melalui konsensus namun Artikel 20 membenarkan satu sidang kemuncak untuk membatalkan prinsip ini. Awal minggu ini, Malaysia – yang mengetuai seruan bagi tindakan lebih tegas – memberi isyarat bahawa Myanmar boleh berdepan penggantungan daripada blok tersebut, jika anggo-tanya tidak melihat kemajuan konkrit menjelang sidang kemuncak para pemimpin. – AFP

    Menteri-menteri luar ASEAN dan rakan dialog semasa mengadakan perbincangan pelbagai isu termasuk Myanmar pada majlis yang berlangsung di Hotel Sokha, Phnom Penh.
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Korea Utara hantar delegasi ke Iran

    PYONGYANG, 24 APRIL - Delegasi ekonomi Korea Utara peringkat tinggi sedang dalam perjalanan ke Iran, kata media negara Korea Utara pada hari ini, untuk...