ASEAN serah bantuan peralatan perubatan kepada Myanmar

KUALA LUMPUR, 17 SEPT – ASEAN telah menyerahkan bantuan peralatan perubatan bernilai AS$1.1 juta untuk diagihkan Persatuan Palang Merah Myanmar (MRCS), bagi membantu Myanmar memerangi penularan COVID-19. 

Penyerahan bantuan itu adalah yang pertama di bawah misi Bantuan Kemanusiaan ASEAN untuk Myanmar, susulan kesepakatan yang dicapai pada 18 Ogos, menurut Sekretariat ASEAN dalam satu kenyataan di laman webnya www.asean.org.

Bantuan itu hasil sumbangan kerajaan Indonesia, Filipina, Thailand, Turki, dan Temasek Foundation International, katanya.

Dalam ucapannya, Setiausaha Agung ASEAN, Datuk Lim Jock Hoi berkata inisiatif itu menunjukkan solidariti yang melambangkan semangat ‘One ASEAN, One Response’ sekali gus mencerminkan Komuniti ASEAN yang berpaksikan rakyat. 

Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada negara dan pihak yang menyumbang serta yakin bantuan itu dapat meringankan penderitaan rakyat Myanmar yang sedang menghadapi saat mencabar.

Lim menyeru negara-negara lain turut serta dalam usaha kemanusiaan Fasa Satu ini untuk membolehkan ia dilanjutkan kepada Fasa Dua.

Bantuan seterusnya untuk Fasa Satu dijangka disumbangkan Brunei, Kemboja, Singapura dan Vietnam, bersama negara dan pertubuhan lain, menurut kenyataan itu.

Sementara itu, Duta Khas ASEAN ke Myanmar, Yang Berhormat Dato Seri Setia Paduka Haji Erywan bin Pehin Datu Pekerma Jaya Haji Mohammad Yusof, berkata pandemik COVID-19 adalah “musuh bersama” yang bukan hanya menjejaskan struktur sosioekonomi malah kehidupan manusia. – Bernama