ASEAN seru penyelesaian aman krisis Myanmar

Oleh Hakim Hayat

BANDAR SERI BEGAWAN, 3 MAC – Pengerusi ASEAN 2021 menyeru semua pihak yang terlibat dalam situasi tegang di Myanmar selepas rampasan kuasa tentera awal bulan lalu, untuk bertolak ansur dan mencari jalan penyelesaian secara aman menerusi dialog yang membina demi kepentingan rakyat.

ASEAN juga bersedia membantu Myanmar melalui pendekatan berhemah, menurut kenyataan pengerusi ASEAN pada Mesyuarat Menteri-menteri Luar ASEAN (IAMM) tidak rasmi yang diadakan secara maya kelmarin.

Myanmar dalam keadaan huru-hara semenjak 1 Februari apabila tentera merampasa kuasa dan menggulingkan pemimpin awam Aung San Suu Kyi, mencetuskan tunjuk perasaan besar-besaran setiap hari.

Dalam masa beberapa hari kebelakangan, terdapat laporan pertempuran antara penunjuk perasaan dan pasukan keselamatan yang membawa kematian kepada orang awam.

Menurut kenyataan itu lagi, pengerusi ASEAN juga menyeru semua pihak di Myanmar mengawal diri dan juga bersikap fleksibel. “Kita sebagai sebuah keluarga ASEAN, memantau rapi perkembangan di rantau ASEAN dan bersetuju bahawa kestabilan politik di dalam mana-mana dan semua negara anggota ASEAN adalah penting dalam mencapai keamanan, kestabilan dan kemakmuran bersama Komuniti ASEAN,” tambah kenyataan itu.

Situasi tegang di Mandalay ketika penunjuk perasaan lari daripada gas pemedih mata yang dilepaskan pasukan keselamatan, 3 Mac. Pengerusi ASEAN 2021 menyeru penyelesaian aman krisis di negara itu kelmarin, ketika laporan kematian ke atas orang awam berlaku. – AP

Mengenai situasi di Rakhine, anggota mesyuarat menekankan pentingnya usaha berterusan Myanmar dalam menangani situasi di wilayah itu termasuk memulakan proses penghantaran pulang secara sukarela, aman dan bermaruah sesuai dengan perjanjian dua hala dengan Bangladesh.

Selain itu, IAMM juga membincangkan mengenai visi Komuniti ASEAN pasca 2025, yang menegaskan bahawa kestabilan politik di negara ASEAN sangat penting dalam mewujudkan komuniti ASEAN yang aman, stabil dan sejahtera.

Anggota mesyuarat juga bersetuju mempertahankan pendekatan proaktif dan pandangan luar ASEAN dalam melaksanakan hubungan luar ASEAN berdasarkan kepentingan, hubungan konstruktif dan faedah bersama.

Menteri-menteri luar juga membincangkan dan meneliti mengenai usaha menangani pandemik COVID-19 dan kesannya terhadap ASEAN, selain penggunaan AS$10.5 juta daripada Dana Tindak Balas COVID-19 ASEAN untuk pemerolehan vaksin dengan segera, mesyuarat itu menggalakkan operasi Rizab Bekalan Perubatan Serantau ASEAN untuk Kecemasan Kesihatan Awam secepat mungkin dan penubuhan Pusat Kecemasan Kesihatan Awam dan Kemunculan Penyakit ASEAN.

Menurut kenyataan Pengerusi IAMM, dalam membantu pemulihan akibat impak COVID-19, peserta mesyuarat menyatakan komitmen terhadap Rancangan Pelaksanaan Kerangka Pemulihan Komprehensif ASEAN tepat yang efektif.

Mesyuarat juga menyambut baik rumusan dan penubuhan segera Pasukan Petugas Mengenai Pengoperasian Kerangka Koridor Perjalanan ASEAN (ATCAF).

ASEAN turut melahirkan sokongan penuh kepada Negara Brunei Darussalam selaku pengerusi ASEAN 2021 untuk sama-sama mencapai matlamat dan deliverables yang dihasratkan dengan tema We Care, We Prepare, We Prosper dan bersetuju membangunkan satu Inisiatif Strategik dan Holistik untuk Menghubungkan Tindakbalas ASEAN terhadap Kecemasan dan Bencana (ASEAN SHIELD) bagi tiga tonggak utama Komuniti ASEAN.