ASEAN tekad bangkit, maju

Oleh Sim Y. H.
Gambar serahan Host Photo

BANDAR SERI BEGAWAN, 28 OKT – Tahun 2021 merupakan tahun yang mencabar di mana ASEAN masih menangani kesan-kesan daripada COVID-19, terutama dengan kemunculan varian-varian baharu, namun tetap maju dalam usaha bersama di bawah tema We Care, We Prepare, We Prosper.

Sehubungan itu, ASEAN telah meningkatkan tekad untuk bertindak balas dan pulih daripada COVID-19, termasuk perolehan vaksin untuk penduduk ASEAN.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, selaku Pengerusi ASEAN 2021, menekankan perkara itu ketika berkenan mengurniakan titah pada Majlis Penutup Sidang Kemuncak ASEAN ke-38 dan ke-39 dan Sidang-sidang Kemuncak Berkaitan dan Penyerahan Pengerusi ASEAN kepada Kemboja melalui persidangan video secara maya dari Baitul Mesyuarah, Istana Nurul Iman hari ini.

Baginda dalam titahnya juga mengalu-alukan pelaksanaan strategi-strategi inklusif dan tunggak untuk memajukan usaha-usaha pembangunan Komuniti ASEAN yang terkandung dalam inisiatif ASEAN SHIELD, dengan memperbaiki penyelarasan institusi untuk meningkatkan kesiapsiagaan dan tindak balas terhadap kecemasan dan bencana pada masa depan.

Terdahulu, Baginda mengambil maklum perbincangan produktif mengenai keadaan dan hala tuju masa depan rantau ini dan pertimbangan untuk meningkatkan lagi hubungan bersama rakan-rakan luar.

KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah berkenan mengurniakan titah pada Majlis Penutup Sidang Kemuncak ASEAN ke-38 dan ke-39 dan Sidang-sidang Kemuncak Berkaitan serta Penyerahan Pengerusi ASEAN kepada Kemboja melalui persidangan video secara maya dari Baitul Mesyuarah, Istana Nurul Iman, semalam.
Baginda Sultan berkenan menyaksikan penyerahan gavel pengerusi kepada TYT Hun Sen.

Baginda semasa bertitah juga mengetengahkan kerjasama untuk menangani kesihatan mental dan memupuk Care Economy untuk perlindungan dan kesejahteraan penduduk ASEAN, yang merupakan komponen-komponen penting untuk merealisasikan Visi Komuniti ASEAN 2025.

Baginda Sultan menekankan bahawa ASEAN telah menyediakan asas untuk masa depan yang terjamin dan berdaya tahan menerusi perlaksanaan Consolidated Strategy on the Fourth Industrial Revolution for ASEAN. Bagi melindungi kemajuan dan pembangunan serantau, ASEAN telah melabur dalam kebeliaan sebagai asetnya yang bernilai dengan adanya ASEAN Junior Fellowship Programme untuk membina kefahaman dan penghargaan di kalangan pegawai-pegawai dan memastikan ASEAN tetap relevan.

Baginda juga menyampaikan rasa puas hati atas penajaan Negara Brunei Darussalam bagi program tersebut untuk 10 tahun yang akan datang. Pada mengakhiri titah, Baginda melahirkan rasa penghormatan dan keistimewaan sebagai Pengerusi ASEAN bagi tahun 2021 dan seterusnya menyerahkan Pengerusian ASEAN kepada Perdana Menteri Kemboja, Tuan Yang Terutama Hun Sen. Kebawah Duli Yang Maha Mulia seterusnya menyerahkan kedudukan sebagai Pengerusi ASEAN kepada TYT Hun Sen melalui penyerahan Gavel Pengerusi ASEAN sebagai penyerahan simbolik kepada Kemboja yang akan menjadi pengerusi ASEAN bagi tahun 2022.

Dalam ucapannya, TYT Hun Sen, sebagai pengerusi ASEAN bagi tahun 2022, antara lain menyatakan Kemboja akan menerajui ASEAN secara kolektif dalam mempercepatkan proses pembinaan Komuniti ASEAN yang saksama, kukuh dan inklusif selaras dengan semangat teras ASEAN. Beliau menekankan bahawa tema Kemboja selaku pengerusi ASEAN, iaitu ASEAN A.C.T.: Addressing Challenges Together akan menyaksikan ASEAN bekerjasama dalam mencapai keharmonian, keamanan dan kemakmuran di rantau ini.