Saturday, April 20, 2024
23.6 C
Brunei

    -

    ASEAN terus bekerjasama pulih, majukan rantau

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 7 OGOS – Walaupun rantau ASEAN berhadapan dengan cabaran-cabaran dalam beberapa tahun kebelakangan ini, daripada gangguan disebabkan oleh pandemik COVID-19 kepada persaingan geopolitik, ASEAN akan terus bekerjasama rapat di antara negara anggotanya dan rakan-rakan kongsi.

    Kerjasama rapat ini adalah untuk pemulihan serantau dan meneruskan pembangunan bagi keamanan serta kemakmuran penduduknya.

    Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, menekankan perkara itu dalam titah perutusan tahniah sempena Hari ASEAN yang disambut pada 8 Ogos tahun ini.

    “Tahun ini menandakan ulang tahun ke-55 sejak penubuhan ASEAN dan Hari ASEAN mengingati peristiwa itu untuk meraikan pencapaian kita dan merenung masa hadapan persatuan sambil kita berusaha untuk merealisasikan sebuah ASEAN berorientasikan dan berpusatkan penduduknya,” titah Baginda.

    Baginda dalam titah perutusannya turut menyatakan dengan hanya beberapa tahun sebelum ASEAN mencapai Visi Komuniti 2025, adalah mustahak supaya kita terus menegakkan ASEAN Centrality dan perpaduan supaya semua ASEAN bergerak ke hadapan secara harmoni ke masa hadapan bersama.

    KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah bertitah pada Hari ASEAN bahawa persatuan itu akan terus bekerjasama dengan negara anggota dan rakan kongsi untuk meneruskan pembangunan bagi keamanan dan kemakmuran penduduknya. – Gambar fail Infofoto

    “Ini boleh direalisasikan menerusi koordinasi dan kerjasama rapat di mana kita mampu menangani cabaran dan meraih kelebihan peluang yang mungkin muncul bagi manfaat bersama.”

    Dalam hubungan ini, Brunei Darussalam menyokong penuh Kemboja dan usahanya sebagai pengerusi ASEAN tahun ini di bawah tema, ASEAN: Addressing Challenges Together.

    “Kita akan terus bekerja dengan semua negara anggota ASEAN dalam mengukuhkan usaha pembangunan komuniti ASEAN dalam mempromosikan kestabilan, sekuriti dan keamanan berpanjangan, pembangunan mampan, pertumbuhan ekonomi inklusif serta juga perkembangan sosial dan kemakmuran bersama di rantau ini, tegas Baginda.

    “Melihat ke hadapan, Brunei Darussalam bersedia untuk bekerja dengan negara anggota ASEAN yang lain dalam menetapkan hala tuju untuk carta Visi Pasca 2025 Komuniti ASEAN, di mana rantau akan dicirikan oleh hubungan kejiranan yang kukuh, persahabatan erat dan kerjasama yang mengutamakan sekuriti dan keamanan serantau, termasuk kesejahteraan dan kehidupan penduduknya.

    “Salam sejahtera Beta ucapkan kepada semua penduduk ASEAN dan bagi usaha berterusan ke arah masa hadapan cerah untuk rantau dan penduduknya,” titah Baginda mengakhiri perutusan.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    5 pekerja jadi sasaran serangan nekad

    KARACHI, 19 APRIL - Seorang pengebom nekad meletupkan jaketnya yang sarat dengan bahan letupan berhampiran sebuah van yang membawa pekerja kereta warga Jepun, yang...