Saturday, April 20, 2024
24.4 C
Brunei

    -

    ASEAN: Tiga tindakan promosi pembangunan bandar mampan

    FUKUSHIMA, 4 DIS – Mesyuarat keempat Peringkat Tinggi Rangkaian Bandar Pintar ASEAN-Jepun bermula di sini hari ini, dengan ASEAN mengetengahkan tiga tindakan utama untuk mempromosi pembangunan bandar pintar dan mampan di rantau ini.

    Setiausaha Agung ASEAN, Tuan Yang Terutama Dato Paduka Lim Jock Hoi dalam ucapan perasmian pada majlis itu menekankan mengenai pentingnya pelaburan dalam infrastruktur digital untuk pembangunan bandar pintar dengan memanfaatkan data yang membantu pegawai membuat keputusan ke arah perkhidmatan lebih berkesan kepada rakyat.

    “Infrastruktur digital pusat yang mantap dan bersepadu perlu untuk merealisasikan kecemerlangan dalam penyampaian perkhidmatan awam,” katanya dalam rakaman ucapannya pada majlis itu.

    Beliau berkata Jepun menyokong ASEAN melalui Perkongsian Bersama Pintar Jepun-ASEAN yang menjalankan kajian kebolehlaksanaan untuk membantu bandar menentukan infrastruktur digital yang sesuai.

    Tuan Yang Terutama juga berkata ASEAN menekankan usaha untuk meningkatkan modal insan yang penting bagi merebut peluang bandar pintar terutama ketika menimbang pelbagai kapasiti bandar raya ASEAN dalam menguruskan projek bandar pintar.

    Katanya, banyak bandar ASEAN terutama yang bersaiz kecil dan sederhana, memerlukan sokongan institusi yang boleh membantu kerajaan tempatan mereka bentuk dan melaksana inisiatif bandar pintar.

    “Oleh itu, ASEAN dan Jepun boleh bekerjasama untuk menyediakan sokongan strategik dan teknikal yang membantu lokaliti dalam melaksanakan rancangan bandar pintar,” katanya.

    Ketiga, menurutnya, penyertaan komuniti inklusif penting untuk melaksana inisiatif Bandar Pintar dengan mendekati orang ramai dalam proses penyelesaian masalah, seterusnya akan membantu pemerintah tempatan memilih penyelesaian sesuai untuk pelbagai isu komuniti di kawasan masing-masing.

    Ini, kata beliau, akan membantu meningkatkan kualiti hidup mereka yang bekerja dan tinggal di bandar.

    Beliau berkata mengejar pembangunan bandar pintar dan mampan penting dalam agenda ASEAN memandangkan kumpulan serantau itu berusaha untuk menangani cabaran bandar dan memperkasa komuniti yang mudah terjejas di bandar tersebut.

    “Oleh itu, saya yakin mesyuarat hari ini akan membuka peluang besar kepada ahli Rangkaian Bandar Pintar ASEAN untuk bertukar idea dan pengalaman dengan Jepun dalam menjadikan bandar kita lebih sesuai untuk didiami,” kata beliau.

    Mesyuarat itu yang berakhir esok, dianjurkan oleh Kementerian Tanah, Infrastruktur, Pengangkutan dan Pelancongan Jepun dengan kerjasama ASEAN serta agensi kerajaan dan majlis perbandaran yang berkaitan.

    Diadakan secara tahunan, mesyuarat antarabangsa itu telah menyumbang kepada membina hubungan kerjasama dalam bidang bandar pintar antara ASEAN dan Jepun sejak mesyuarat sulungnya pada 2019.

    Berlangsung di University of Aizu di Aizuwakamatsu, Fukushima, mesyuarat itu dihadiri delegasi ASEAN, selain tiga anggota media dari Filipina, Kemboja dan Malaysia. – Bernama

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    5 pekerja jadi sasaran serangan nekad

    KARACHI, 19 APRIL - Seorang pengebom nekad meletupkan jaketnya yang sarat dengan bahan letupan berhampiran sebuah van yang membawa pekerja kereta warga Jepun, yang...