ASEAN-UK dukung inovasi digital

Oleh Nurdiyanah R.

BANDAR SERI BEGAWAN, 1 SEPT – Teknologi digital memainkan peranan penting dalam usaha untuk menuju ketahanan, pemulihan dan kemapanan daripada impak COVID-19 dengan transformasi digital semakin mempengaruhi semua sektor dan aktiviti perekonomian.

Sehubungan itu, wujudnya keperluan-keperluan tertentu untuk menetapkan keutamaannya antaranya menaiktarafkan infrastruktur, meningkatkan akses, mempromosikan penggunaan teknologi digital dan meningkatkan perkembangan modal insan untuk memastikan kesediaan dan kesiapsiagaan ke arah transformasi digital dan inovasi. Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Abdul Mutalib bin Pehin Orang Kaya Seri Setia Dato Paduka Haji Mohd Yusof menekankan perkara itu dalam ucapan pra-rakaman sempena Simposium ASEAN-UK Digital Innovation Partnership secara maya hari ini.

Menurut kenyataan yang diterima, simposium merupakan kerjasama antara kerajaan UK, UK-ASEAN Business Council, Sekretariat ASEAN dan ASEAN Business Advisory Council itu telah diadakan dalam satu sesi bersama Menteri State of Digital and Culture, Department for Digital, Culture, Media and Sports UK, Puan Yang Terutama Caroline Dinenage yang mana telah menumpukan kepada kolaborasi ASEAN-UK dalam mendokong innovasi digital. Dengan tema Great Partnerships are Committed to Boosting Trade and Investment, simposium telah dirasmikan dengan pembukaan ucapan dari Her Majesty’s Trade Commissioner for Asia Pacific, Natalie Black CBE dan Tuan Yang Terutama Dato Paduka Lim Jock Hoi selaku Setiausaha Agung ASEAN.

Dalam ucapannya, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Abdul Mutalib turut mengongsikan digitalisasi telah dikenal pasti sebagai salah satu Teras Strategik di bawah kepengerusian ASEAN 2021. Selaras dengan tema ASEAN 2021, We Care, We Prepare, We Prosper, Teras Strategik bagi Digitalisasi memberikan keutamaan terhadap membina ASEAN yang berdaya tahan dengan memanfaatkan teknologi baharu dan digitalisasi untuk menyediakan e-commerce dan digital ecosystem yang selaras, selamat dan terjamin. Selain itu, beliau juga menekankan bahawa keutamaan dan strategi dasar Negara Brunei Darussalam dalam digitalisasi adalah berpandukan Pelan Induk Ekonomi Digital 2025 dengan visi Negara Pintar melalui Transformasi Digital. Inovasi juga turut ditekankan dengan pembentukan Majlis Penyelidikan dan Kemajuan Teknologi dan Sains (CREATES) pada tahun ini.

Beliau menjelaskan transformasi digital dan inovasi memerlukan keselamatan siber yang sangat penting untuk menyediakan persekitaran yang selamat dan terjamin agar perniagaan dan masyarakat berupaya untuk maju kehadapan. Oleh itu, terdapat keperluan untuk memastikan pembangunan modal insan berupaya untuk memanfaatkan peluang dari transformasi digital. Simposium turut dijalankan secara perbincangan interaktif bersama ahli panel mengenai aliran, cabaran dan peluang masa depan dalam transformasi digital, e-commerce dan digital trade facilitations serta urustadbir digital dan piawaian dalam usaha mempercepatkan pertumbuhan perniagaan. Simposium ini seterusnya melancarkan ASEAN-UK Digital Innovation Partnership dan ia merupakan satu wadah bagi kalangan pemimpin daripada sektor kerajaan dan swasta sama ada dalam sektor digital dan bukan digital serantau untuk berkongsi amalan terbaik mengenai digital dan teknologi termasuk digitalisasi dalam perkhidmatan awam. Simposium berkenaan juga disertai oleh ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Dayang Siti Rozaimeriyanty binti Dato Seri Laila Jasa Haji Abdul Rahman. Turut hadir ialah pegawai-pegawai dari Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi (MTIC) dan Pihak Berkuasa Industri Teknologi Info-Komunikasi (AITI).

Yang Berhormat Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi semasa simposium ASEAN-UK yang diadakan secara maya. – Gambar serahan MTIC.