ASEAN+3 perlu longgarkan langkah bantuan COVID

KUALA LUMPUR, 13 MEI – Negara-negara ASEAN Campur 3 (ASEAN+3) digesa agar melonggarkan langkah-langkah sokongan atau bantuan kecemasan yang dilaksanakan ketika tempoh pandemik dalam usaha membina semula ruang fiskal masing-masing.

Usaha itu penting memandangkan semakin banyak negara mulai bangkit daripada pandemik COVID, termasuk membuka semula ekonomi serta mencari peluang pertumbuhan baharu.

Ketika membuat gesaan itu, Ketua Kumpulan Pemantau Serantau Pejabat Penyelidikan Makroekonomi ASEAN+3 (AMRO) dan Ahli Ekonomi Utama Dr Ling Hui Tan berkata ini bagaimanapun bergantung kepada momentum pemulihan ekonomi serta keperluan mendapatkan sokongan yang berterusan.

“Sejajar dengan pertumbuhan ekonomi yang kian ketara, langkah-langkah yang diperkenalkan ketika pandemik itu sebaliknya perlu ditarik balik apabila keadaan perlu. Namun ini perlu dilakukan secara berhati-hati kerana COVID masih belum lenyap sepenuhnya dan kita sebaliknya berisiko menjejaskan pemulihan ekonomi.

“Malah, terdapat risiko dan ketidaktentuan baharu susulan konflik ketenteraan di Ukraine selain kadar inflasi yang tinggi,” katanya dalam sesi webinar anjuran bersama Bank Pembangunan Asia (ADB) dan AMRO bertajuk ‘Economic Recovery in ASEAN+3: New Drivers of Growth and Optimism’ di sini, hari ini.

Mengulas selanjutnya, beliau berkata negara-negara terbabit perlu bertindak mengurangkan langkah itu secara beransur-ansur dan bersasar mengikut penilaian keperluan serta persiapan sewajarnya jika keadaan memerlukan untuk berbuat demikian.

“Sebaik pemulihan ekonomi itu dilaksanakan, langkah berikutnya adalah membuat komitmen kukuh terhadap konsolidasi fiskal yang mana kerajaan perlu menyediakan pelan pelarasan fiskal yang jelas dengan sasaran khusus serta disusuli dengan langkah untuk mencapainya.

“Ini penting bagi mengekalkan keyakinan pasaran. Sebagai contoh, beberapa negara berkemungkinan perlu memberi lebih banyak penekanan terhadap usaha meningkatkan hasil dengan menambah baik kapasiti kutipan seperti menaikkan cukai atau memperkenalkan cukai baharu. – Bernama