ASEP 11 bincang pemulihan sosioekonomi

BANDAR SERI BEGAWAN, 16 NOV – Majlis Mesyuarat Negara (MMN) hari ini telah menghadiri Mesyuarat Perkongsian Parlimen Asia-Eropah ke-11 (ASEP 11) yang diadakan secara dalam talian, anjuran bersama The National Assembly dan The Senate of the Kingdom of Cambodia.

Mesyuarat ASEP 11 telah dihadiri oleh parlimen-parlimen daripada rakan-rakan ASEM sebanyak 32 buah termasuk Negara Brunei Darussalam, negara-negara rantau Eropah dan negara-negara serantau ASEAN.

Mewakili ahli MMN ialah Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Putera Maharaja Dato Paduka Haji Abdul Ghani bin Pehin Datu Pekerma Dewa Dato Paduka Haji Abdul Rahim, selaku ketua delegasi; Setiausaha Majlis Mesyuarat Menteri-menteri Kabinet dan Jurutulis Majlis-majlis Mesyuarat, Yang Dimuliakan Pehin Orang Kaya Pekerma Jaya Dato Paduka Haji Judin bin Haji Asar; dan Yang Berhormat Pengiran Haji Ali bin Pengiran Maon.

Mesyuarat itu menekankan kepentingan perkongsian Asia-Europah yang berperanan sebagai bahagian penting dalam mengekalkan hubungan baik antara rakyat, parlimen dan kerajaan kedua-dua rantau ke arah mencapai keamanan, kestabilan, kemakmuran bersama dan perkembangan yang mampan.

Sesuai dengan tema mesyuarat, ‘Pegukuhan Perkongsian Parlimen untuk Keamanan dan Pembangunan Mampan dalam Era COVID-19 dan Selepasnya’, ASEP 11 membincangkan isu utama yang menjadi perhatian bersama kedua-dua rantau khususnya keamanan dan keselamatan, pemulihan sosioekonomi pasca COVID-19 (post recovery COVID-19), pertumbuhan dan pembangunan inklusif, dan penggunaan sumber yang mampan.

Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Putera Maharaja Dato Paduka Haji Abdul Ghani telah membuat kenyataan di peringkat sesi pleno pertama mengenai kepentingan untuk memastikan ekonomi mampan bagi generasi akan datang agar dapat merealisasikan dan memastikan Brunei sebagai sebuah negara maju dan rakyat yang pendapatan stabil dengan menggunakan pengetahuan dan teknologi sebagai asas pembangunan.

Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Putera Maharaja Dato Paduka Haji Abdul Ghani semasa menyertai mesyuarat ASEP 11. – Gambar serahan Jabatan Majlis-majlis Mesyuarat