Ash Barty pemain nombor satu dunia

SYDNEY, 24 JUN – Selepas melakar kejayaan pada Terbuka Perancis awal bulan ini, bintang tenis Australia, Ash Barty pada Isnin secara rasmi menduduki ranking pemain wanita nombor satu dunia, apabila menewaskan Julia Goerges dari Jerman untuk muncul juara kejohanan WTA Birmingham di England, lapor agensi berita Xinhua.

Ini kali pertama pemain wanita Australia menjadi pemain nombor satu dunia, sejak juara Grand Slam tujuh kali, Goolagong Cawley pada 1976.

Tahun 2019 menyaksikan permulaan cemerlang dalam karier pemain berusia 23 tahun itu dengan mencatat 36 kemenangan dan hanya enam kekalahan.

“Kita seringkali bermimpi, tetapi untuk menjadikannya realiti bukanlah perkara mudah. Ia adalah perjalanan paling luar biasa untuk diri dan pasukan saya.

Masih sukar untuk mempercayainya tahun ini ia menjadi milik saya.

“Bermula dari bawah tanpa ranking dan kini kami berada di kedudukan nombor satu, bukan hanya pencapaian besar untuk saya tetapi juga kepada mereka,” kata Barty selepas kejohanan itu.

Barty bakal menyertai Kejohanan Wimbledon minggu depan sebagai pemain pilihan pertama. – Bernama

Ashleigh Barty bergambar dengan trofi kejuaraan selepas menundukkan Julia Gorges pada final di Edgbaston Priory Club di Birmingham, kelmarin. – AFP