Ashira kecewa penggiat muzik dipandang hina

Penyanyi Di Ombak Resah, Ashira Aziz, 36, kesal ada segelintir pihak sering memandang rendah terhadap golongan seni berikutan mempertikaikan pemberian Dana Kandungan Digital (DKD) Muzik berjumlah RM6 juta yang diagihkan Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) kepada 960 penggiat muzik bagi menghasilkan Program Hiburan Dari Rumah (HDR) 2021.

Kembali menempa menerusi program Gegar Vaganza musim ketujuh, Ashira berkata, dia terkilan apabila ada pihak yang tidak berpuas hati atas pengagihan dana yang diperuntukkan kepada warga seni itu.

“Saya kecewa, warga seni sering dipandang hina hingga ada yang mengatakan hiburan adalah maksiat. Mereka tidak tahu, ramai pemuzik terutama mereka yang bekerja malam hilang punca pendapatan sehingga hari ini sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pertama, tahun lalu.

“Ramai rakan saya kini berada pada tahap sukar kerana tidak boleh bekerja. Alhamdulillah, akhirnya ada juga dana untuk membantu penggiat muzik. Mereka bukan dapat duit begitu sahaja, sebaliknya perlu menyiapkan tugasan, tetapi itupun masih ada orang yang tidak berpuas hati.

“Sejujurnya, saya sangat sedih dan bersimpati dengan nasib yang menimpa rakan-rakan. Saya tahu macam mana rasa dihalau daripada rumah sewa kerana pernah melalui pengalaman sama. Tambahan pula, ada antaranya sudah berkeluarga dan masih ada anak kecil, tetapi tiada tempat hendak dituju.

“Malah, mereka juga sanggup melakukan pelbagai kerja untuk meneruskan hidup. Jadi, saya sedih apabila ada yang mempersoalkan pemberian dana tanpa tahu apa yang dilalui kami ketika ini,” katanya kepada media.

Bagaimanapun, Ashira berkata, dia tidak berhasrat memohon DKD Muzik berikutan lebih ramai yang layak untuk memohonnya.

Sementara itu, belum pun sempat mengecap kemanisan alam rumah tangga, Ashira dan suaminya yang juga anggota kumpulan Indigo, Badrul Izhan Yeop Abdullah atau Bad, 46, reda dengan ujian yang menimpa mereka.

Selepas dua minggu selepas diijabkabulkan pada 11 Mac lalu, Bad dimasukkan ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) bagi menjalani pembedahan memotong satu jari kaki kiri yang luka akibat penyakit diabetes. – Agensi

Ashira Aziz kesal ada segelintir pihak sering memandang rendah terhadap golongan seni berikutan mempertikaikan pemberian DKD Muzik berjumlah RM6 juta yang diagihkan KKMM. – Agensi