SYDNEY, 23 MAC – Pemain nombor satu dunia, Ashleigh Barty mengejutkan dunia tenis hari ini apabila mengumumkan persaraan awal dari sukan itu pada usia 25 tahun, mengatakan dia telah memenuhi impiannya ‘keletihan dari segi fizikal.’
Ashleigh tampil mengejutkan ramai pihak selepas seminggu menjadi juara pertama di gelanggang negara asalnya pada Terbuka Australia dalam tempoh 44 tahun, selain menyertai kelab paling eksklusif diraja tenis dengan gelaran Grand Slam di tiga permukaan berbeza.
“Hari ini hari sukar dan penuh dengan emosi buat saya ketika saya mengumumkan persaraan dari tenis,” katanya dalam klip video yang disiarkan di Instagram.
Dalam video penuh sebak pesanan bersama rakan karibnya dan bekas gandingan beregu Casey Dellacqua, Ashleigh berkata dia berterima kasih terhadap semua yang dimiliki dan dicapai dalam sukan itu.
“Saya sangat gembira dan sudah bersedia. Saya sedar ini adalah masa paling sesuai.
“Kejayaan bagi saya adalah mengetahui saya telah mencurahkan segala-galanya. Saya fikir saya sudah keletihan. Saya tahu dari segi fizikal, saya tidak mempunyai apa-apa untuk diberikan dan bagi saya ia adalah kejayaan.
“Saya sangat bersyukur dengan pencapaian dalam tenis, ia menyempurnakan segala impian saya,” kata pemenang Grand Slam tiga kali itu.
“Saya merasakan sekarang adalah masa tepat untuk saya pergi dan mengejar impian lain.”
Ashleigh berada dalam ranking nombor satu dunia lebih daripada dua tahun dan bersara selepas memenangi tiga kejuaraan perseorangan Grand Slam antaranya di Terbuka Perancis 2019, Wimbledon 2021 dan Terbuka Australia tahun ini. – AFP