Ashraf berat hati tinggalkan wad 31

Pelakon, Ashraf Muslim (gambar bawah), 39, berat hati meninggalkan wad 31, Pusat Kawalan Kusta Negara, Sungai Buloh selepas tiga minggu menjalani rawatan dan tempoh kuarantin berikutan disahkan positif COVID-19 sekembali dari Scotland pada hujung Mac lalu.

Pelakon drama Biar Aku Jadi Penunggu dan Dia Menantu Rahsia itu dibenarkan keluar Pusat Kawalan Kusta, sejak dua hari lalu apabila ujian menunjukkan dirinya bebas cengkaman virus COVID-19.

Menganggap dirinya sebagai insan terpilih, Ashraf berkata, dia melihat ujian yang diterima mempunyai banyak hikmah yang tersembunyi.

“Saya sudah merindui suasana wad 31, biarpun baharu dua hari pulang ke rumah.

“Pelbagai perasaan timbul dalam hati ketika disahkan positif COVID-19 dan dihantar menjalani rawatan di Pusat Kawalan Kusta, terutama apabila memikirkan terpaksa berjauhan isteri dan anak. Sudahlah sebelum ini hampir sebulan berada di Scotland menjalani penggambaran drama bersiri, Demi.

“Bagaimanapun, saya rasa bersyukur Allah pilih untuk uji saya selepas berada dalam wad ini. Segala kebimbangan meleset selepas lebih tiga minggu berada di sini. Jujurnya, saya tak rasa bosan langsung sepanjang berada dalam pusat ini,” katanya kepada media.

Anak kelahiran Teluk Mas, Melaka itu berkata, biarpun ibadat puasa di wad tidak sempurna seperti di rumah, tetapi nikmatnya tidak diperoleh di mana-mana.

“Jika di rumah, meriah dengan pelbagai juadah berbuka puasa dan keluarga, tetapi di wad, suasananya amat berbeza. Nikmat tak akan diperoleh di tempat lain.

“Jadual saya terlampau padat hingga memasuki bulan Ramadan. Isteri pun terkejut kepadatan jadual, mengalahkan petugas barisan hadapan.

“Saya menyertai pelbagai aktiviti kerohanian sepanjang Ramadan membuatkan terasa seperti berada di Mekah. Kebiasaannya, rutin bermula jam 11 pagi. Selepas bangun dan membersihkan diri, saya akan bersiap untuk bertadarus hingga jam 3 petang.

“Sementara menanti solat Asar, saya akan berehat sebentar. Selain solat berjemaah, aktiviti kami diisi dengan sesi tazkirah, bacaan kitab, hadis dan bercerita mengenai kebesaran Ilahi. Apabila melakukan semua aktiviti bersama membuatkan hubungan menjadi lebih rapat,” katanya.

Katanya, keakraban menyebabkannya berat hati mahu meninggalkan rakan-rakan. Hubungan mereka sudah diibaratkan seperti satu keluarga.

Disebabkan itu, katanya, dia memilih untuk terus berada di wad 31 biarpun dirinya bebas COVID-19 pada hari pertama Ramadan.

“Saya minta kebenaran Pusat Kawalan Kusta untuk terus berada di wad biarpun ujian mengesahkan saya negatif COVID-19. Sekiranya keluar, saya masih perlu menjalani kuarantin. Jadi, daripada menjalani kuarantin seorang diri, lebih baik saya terus berada di wad.

“Saya tahu saya akan berseorangan mengerjakan solat Tarawih dan ibadat lain jika keluar wad. Selama ini, saya sentiasa berdoa mahu menikmati Ramadan dengan mengisi waktu dengan pelbagai perkara berfaedah, tetapi tak sangka Allah SWT makbulkan permintaan saya.

“Walaupun dalam ujian ini, namun saya tetap bersyukur. Saya sudah mulai merindui rakan-rakan. Nasib baik kami mempunyai grup WhatsApp, jadi bolehlah bertanya khabar,” katanya. – Agensi