SINGAPURA, 7 FEB – Negara-negara di Asia kini berhadapan lonjakan dalam jangkitan COVID-19 selepas cuti Tahun Baharu Cina yang diraikan secara meluas di benua tersebut, ketika pegawai kesihatan bergelut menangani varian Omicron yang mudah berjangkit dan jangkaan jumlah jangkitan akan terus meningkat dalam masa beberapa minggu akan datang.
Tahun Baharu Cina, yang merupakan cuti terbesar etnik Cina, diraikan di seluruh Asia pada 1 Februari meskipun sekatan pandemik di kebanyakan negara menghalang ziarah orang ramai dan keluarga ke tahap minimum. Antara negara yang berdepan lonjakan ialah Singapura yang menyaksikan peningkatan dramatik dalam jangkitan susulan cuti minggu lalu, dengan kes naik tiga kali ganda kepada 13,000 pada Jumaat. Singapura melaporkan lebih 100,000 kes dalam tempoh sebulan lalu, meskipun 99 peratus daripada adalah ringan atau asimptomatik.
Di seluruh Asia, Jepun, Korea Selatan dan wilayah Hong Kong, pihak berkuasa kesihatan berhadapan corak serupa ketika varian Omicron mula menjadi dominan, meskipun ia tidak membawa kepada kemasukan ke hospital atau jumlah kematian tinggi berbanding varian sebelumnya, Delta.
Jepun melaporkan hampir 90,000 kes di seluruh negara kelmarin, ketika Omicron tidak menunjukkan tanda mereda, begitu juga Korea Selatan yang menyaksikan kes harian meningkat kepada 38,691 kes baharu dan dijangka mencecah 130,000 atau 170,000 menjelang hujung bulan ini kerana Omicron.
Penularan tempatan juga meningkat di Indonesia, menghampiri paras tertinggi rekod sama tahun lalu, ketika Omicron merebak. Pada 6 Januari, Indonesia merekodkan 533 kes baharu COVID-19 dan tujuh kematian.
Sebulan kemudian, angka itu melonjak kepada 36,057 dengan 57 kematian, hampir empat kali ganda kadarnya seminggu lalu.
Thailand pula melaporkan lebih 10,000 kes harian tiga hari berturut-turut, namun Jabatan Pencegahan Penyakit mengatakan jumlah pesakit tenat menurun, dengan kadar kematian kekal stabil. Ketua jabatan itu, Opas Karnkawipong mengatakan Thailand mungkin mempertimbangkan pelonggaran beberapa sekatan pandemik, memandangkan varian Omicron kurang teruk.
Di negara-negara lain di mana Tahun Baharu Cina adalah cuti utama, kerajaan juga dalam kewaspadaan tinggi, menjangkakan Omicron akan terus membawa kepada lonjakan dalam jumlah jangkitan. – AP