Asia Inc Forum bincang perubahan landskap perniagaan

Oleh Ak Zaki Kasharan

BANDAR SERI BEGAWAN, 23 NOV – Sebagai sebahagian daripada program TRANSFORM2021, Asia Inc Forum akan mengadakan forum town hall secara maya pada 8 Disember depan dengan fokus terhadap Persediaan bagi Norma Seterusnya: Apa yang Boleh Dijangkakan pada 2022?.

Dibimbing oleh panel ketua-ketua pegawai eksekutif dan dimudahcarakan oleh Pengerusi Asia Inc Forum, Dato Timothy Ong, forum itu akan membincangkan bagaimana landskap perniagaan telah berubah berikutan gangguan COVID-19 dan peluang baharu dalam peralihan kepada dunia pasca pandemik.

Menurut kenyataan Asia Inc, lebih 200 peserta dari Brunei dan negara ASEAN dijangka akan mengambil bahagian. Pengurus Besar Program Serantau Asia Inc Forum, Andrew Dy dipetik berkata, forum maya berkenaan adalah acara yang mesti dihadiri oleh pemilik perniagaan, pengurus dan usahawan yang bersedia untuk 2022 dan masa depan.

Kenyataan menyatakan, sebagai sebahagian daripada program TRANSFORM 2021 tahun ini, 30 webinar perniagaan telah dianjurkan yang menampilkan usahawan dan pakar dari Brunei dan luar negara.

Kini memasuki tahun ke-15, program keusahawanan dan perniagaan tempatan sepanjang tahun itu merupakan platform untuk pembelajaran, perkongsian dan pembinaan rangkaian bagi perniagaan Brunei dan ASEAN.

Ketua Pegawai Eksekutif Bank Baiduri, Ti Eng Hui dipetik berkata, Bank Baiduri telah menyokong program berkenaan sejak ia mula-mula ditubuhkan pada 2006 dan mereka sangat gembira mengetahui bahawa ia telah mencipta impak positif dan membantu ramai individu untuk belajar, berkongsi dan membina rangkaian mereka melalui program itu.

“Sebagai sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat kami ke arah menyokong pembangunan ekonomi negara, kami akan terus bekerjasama dengan pemimpin program keusahawanan seperti Asia Inc Forum untuk menyediakan bantuan yang diperlukan oleh perniagaan melalui program ini untuk mencipta masa depan mereka bersama-sama,” tambah beliau.

Program TRANSFORM 2021 dikelolakan oleh Asia Inc Forum dengan kerjasama Bank Baiduri sebagai penaja penyampai. 

Ia juga disokong oleh kumpulan Archipelago sebagai rakan logistik, CIC Environmental Services dan Progresif sebagai rakan bersekutu. Sementara itu, Borneo Bulletin dan Media Permata pula sebagai rakan media digital dan cetak.