Asia Selatan berdepan krisis kesihatan baharu

ISLAMABAD, 28 APRIL – Asia Selatan mungkin berhadapan krisis kesihatan awam lebih teruk ketika pemvaksinan rutin ke atas kanak-kanak dilewatkan, Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) memberi amaran hari ini.

Ia mencetuskan kebimbangan bahawa kesan pandemik COVID-19 mungkin akan menterbalikkan kejayaan yang sudah dicapai di rantau ini.

Tabung Kanak-kanak PBB, UNICEF mengatakan beratus-ratus ribu orang berisiko berikutan perintah berkurung di seluruh Asia Selatan menghentikan usaha imunisasi dan ibu bapa tidak membawa anak-anak mereka ke doktor untuk mendapatkan imunisasi.

“Walaupun virus COVID-19 tidak membuatkan ramai kanak-kanak sakit teruk, kesihatan ratusan ribu kanak-kanak mungkin terjejas kerana gangguan perkhidmatan imunisasi biasa ini,” kata pengarah pejabat UNICEF di Asia Selatan, Jean Gough.

“Ini merupakan ancaman yang sangat serius. Tindakan awal adalah kuncinya.”

Bangladesh dan Nepal menghentikan kempen demam campak dan rubela mereka, manakala Pakistan dan Afghanistan telah menangguhkan usaha polio mereka sejak penularan wabak COVID-19. UNICEF mengingatkan, wabak penyakit sporadis yang dapat disembuhkan dengan vaksin, termasuk demam campak dan difteria, telah muncul di Bangladesh, Pakistan dan Nepal.

Stok vaksin juga hampir habis di beberapa negara di rantau ini kerana pengurangan dan larangan perjalanan yang mengganggu rantaian bekalan.

“UNICEF sangat mengesyorkan bahawa, di mana kempen imunisasi ditangguhkan, kerajaan memulakan perancangan serius sekarang untuk memperhebatkan aktiviti imunisasi selepas pandemik COVID -19 terkawal,” kata agensi itu dalam satu kenyataan.

Ia menambah bahawa, selagi pekerja kesihatan mengambil langkah berjaga-jaga terhadap kebersihan, tidak ada alasan untuk vaksinasi tidak diteruskan.

Agensi itu menganggarkan 4.5 juta kanak-kanak di Asia Selatan telah terlepas imunisasi rutin, bahkan sebelum wabak COVID-19 menyerang. – AFP