Asia tingkatkan waspada virus seperti SARS

BANGKOK, 21 JAN – Negara-negara Asia hari ini mempertingkatkan kewaspadaan terhadap virus baharu seperti SARS, memperkenalkan pemantauan skrin mandatori di lapangan terbang dari kawasan berisiko tinggi seperti China ketika pihak berkuasa bertindak menangani krisis besar kesihatan serantau itu.

Dari Bangkok ke Hong Kong dan Seoul ke Sydney, pihak berkuasa meningkatkan kewaspadaan tahap tinggi ke atas koronavirus baharu, susulan pengesahan China ke atas jangkitan manusia-kemanusia pertama penyakit membawa maut itu.

Enam orang sudah pun meninggal dunia di China manakala banyak lagi dijangkiti virus terbabit.

Kes-kes sudah pun dikesan di Thailand, Jepun, Korea Selatan dan terbaharu, Taiwan ketika Pertubuhan Kesihatan Sedunia mengatakan ia akan mengadakan persidangan tergempar bagi mengisytiharkan darurat kesihatan global kerana virus yang merebak itu.

Pihak berkuasa Thai, Malaysia, Australia, Bangladesh, Hong Kong, Nepal, Singapura, Taiwan dan Amerika Syarikat memperkenalkan pengimbasan termal mandatori ke atas penumpang yang tiba dari kawasan berisiko tinggi China di lapangan terbangnya. Thailand turut mengimbas pelawat di Chiang Mai, Phuket dan Krabi.

Menurut Thailand, ia terdesak untuk mengelak kerosakan yang dibawa oleh wabak itu ketika musim pelancongan puncaknya, dengan penumpang-penumpang akan diimbas tanpa pengecualian, kata menteri kesihatan, Anutin Charnvirakul dalam satu kenyataan, menambah jika mereka menunjukkan tanda-tanda selesema, mereka akan dikuarantin dalam masa 24 jam untuk pemantauan.

Suku daripada semua penerbangan yang tiba di Thailand, adalah dari Wuhan—pusat utama merebaknya virus maut itu. Sekitar 1,300 penumpang dijangka tiba setiap hari dari Wuhan pada cuti Tahun Baharu Cina, yang bermula hujung minggu ini. – AFP

Gambar serahan pada 21 Jan dikeluarkan Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta menunjukkan pegawai kesihatan Indonesia memeriksa penumpang berkerusi roda di Tangerang. Negara-negara Asia, dari Thailand, Malaysia, Indonesia, Hong Kong, Bangladesh dan banyak lagi mula memeriksa penumpang yang tiba di lapangan terbang mereka bagi mencegah virus seperti SARS dibawa masuk oleh penumpang. – AFP