Asian Enduro Series kembali

Oleh Siti Nur Wasimah S.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 12 Jun – Negara Brunei akan menjadi tuan rumah bagi Asian Enduro Series Cycling Race buat kali kedua yang akan diadakan pada 29 hingga 30 September ini.

Sehubungan dengan itu, satu majlis penandatanganan antara Kingdom Rides & Adventures dan Syarikat Penerbangan Diraja Brunei (RB) hari ini telah diadakan di Dewan Setia Pahlawan, Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan (KSSUP).

Hadir bagi menyaksikan majlis penandatanganan itu ialah Timbalan Setiauasaha Tetap (Pelancongan), Awang Wardi bin Haji Mohammad Ali.

Menandatangani bagi pihak Kingdom Rides & Adventures ialah Pengarahnya, Jason Pickett, manakala menandatangani bagi pihak RB ialah Pengurus Besar Komersial Eksekutif RB, Martin Aeberli.

Sejurus majlis penandatanganan, ia diteruskan lagi dengan sesi sidang media.

Sesi bergambar ramai selepas majlis penandatanganan antara Kingdom Rides & Adventures dan RB, yang telah diadakan di Dewan Setia Pahlawan, KSSUP.

Awang Wardi dalam sidang media menyatakan bahawa sukan lasak lumba basikal gunung ini merupakan salah satu sukan yang dikenali ramai di negara ini dan ia telah menjadi platform bagi negara ini untuk menarik minat ramai pelancong.

Beliau juga menyampaikan ucapan penghargaan kepada Kingdom Rides & Adventures dan RB kerana telah berjaya menjadikan negara ini sebagai destinasi pilihan dalam bidang sukan.

Katanya lagi, dengan bertambahnya jumlah para peserta juga jelas menunjukkan kini semakin ramai yang meminati sukan basikal gunung.

Menurut Jason Pickett, kejohanan kali ini mempertandingkan enam kategori iaitu Kategori Elite, Kategori Aficianados (30-39 tahun), Kategori Karnage (40-49 tahun), Kategori Legends (50 tahun ke atas), Kategori Feminino (Wanita) dan Kategori Prodigy (15-17 tahun).

Beliau menambah, kejohanan kali ini akan disertai lebih 100 orang peserta di seluruh rantau Asia dengan lebih 100 penyertaan daripada peserta antarabangsa seperti Korea, Nepal, Malaysia, Thailand, Indonesia, Jepun dan sebagainya.

Sehubungan itu, pendaftaran bagi orang ramai yang berminat untuk menyertai kejohanan itu telah pun dibukakan hingga hujung bulan Ogos ini.

Sementara itu, menurut Martin Aeberli pula, penglibatan RB bersama KSSUP merupakan salah satu strategi RB untuk meningkatkan dan menawarkan lagi pelbagai tawaran menarik bagi para pelancong untuk berkunjung ke negara ini.

Tambahnya, acara seumpama ini adalah peluang yang baik untuk menampilkan Brunei Darussalam sebagai destinasi pelancongan terbaik bagi para pelancong.

Dalam pada itu, sebagai sokongan berterusan, RB turut menawarkan tambang tiket-tiket penerbangan bersama pakej-pakej hotel dengan harga yang berpatutan bagi para peserta kejohanan dan keluarga mereka.