LABUAN, 17 Julai – Asian Supply Base Sdn Bhd (ASB), syarikat berkaitan kerajaan negeri Sabah, menyasarkan untuk muncul sebagai sebuah hab logistik minyak dan gas (O&G) global.
Malah, hab logistik penuh yang berpengkalan di Labuan itu turut melihat kedudukannya sebagai peneraju industri apabila berjaya menarik kehadiran firma-firma O&G ke pulau berkenaan, sekali gus mencerminkan peranan Sabah menghubungkan Labuan kepada pemimpin sektor itu di peringkat global.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Harris Annuar Tan berkata sekurang-kurangnya 97 syarikat O&G tempatan dan global masih beroperasi di hab itu pada masa biar pun angka itu berkurangan sedikit susulan tindakan beberapa syarikat yang menutup operasi masing-masing sejak akhir 2016. Antara firma antarabangsa yang masih beroperasi di situ adalah Halliburton, Schlumberger, Baker Hughes dan MMC Engineering.
“Sebelum ini ada lebih 107 syarikat yang beroperasi di pangkalan ini namun kini angka itu mencecah kepada kurang 100 syarikat. Bagaimanapun, operasi kami tetap berjalan seperti biasa dan turut mengambil pekerja baharu demi memastikan perkhidmatan sedia ada terus ditawarkan.

“Selepas beroperasi bertahun-tahun lamanya serta atas kepercayaan para pelanggan, hab logistik ASB ini memiliki jumlah pekerja paling ramai di Labuan iaitu kira-kira 5,000 orang. Ini termasuk pekerja di firma asing yang turut membantu kami untuk terus merancakkan perkembangan ekonomi pulau ini,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.
Mengulas selanjutnya, Harris berkata, tidak seperti mana syarikat O&G lain yang terpaksa memilih langkah mengurangkan operasi dan pemberhentian pekerja akibat kelembapan usaha pemprosesan minyak global, ASB sebaliknya mampu mengekalkan lebih 1,000 pekerjanya setakat hari ini.
Pada masa sama, beliau turut menekankan keperluan syarikat itu mengamalkan perbelanjaan operasi secara berhemat berikutan ketidaktentuan ekonomi semasa. – Bernama