Asimilasi sukarelawan belia dalam konsep memberi

Oleh Sim Y. H.

Gambar serahan BruROSA

Keinginan berbakti kepada masyarakat lahir daripada nawaitu seseorang, keikhlasan hati dan niat tulus membantu masyarakat dan negara tidak kira menjadi sukarelawan atau mengorbankan harta benda sendiri.

Kepuasan dan pengalaman bergelumang dengan aktiviti kesukarelawanan boleh menjadikan belia kaya dengan nilai luar daripada norma kehidupan harian mereka selain memberi senyuman dan kelapangan dada kepada orang yang dibantu.

Inilah asimilasi yang dialami oleh 12 orang belia daripada Persatuan Pelajar Pegawai Agama Brunei (BruROSA) yang menerusi kegiatan kesukarelawan ini, menyertai projek tahunan cuti mereka, Unsung Heroes yang membawa tema, The Life of Giving selama dua hari pada 23 hingga 24 Ogos lalu di kawasan letak kereta Jame’ ‘Asr Hassanil Bolkiah.

Projek tahunan menghulurkan bantuan kepada golongan memerlukan itu bukan sahaja dapat membina jati diri mereka malah memperluaskan pengalaman kehidupan supaya mampu menjadi pemimpin berwibawa, berjiwa kemasyarakatan serta sedia membantu golongan yang kurang bernasib baik.

Projek amal bermula pada 2016 itu merupakan kegiatan yang dianjurkan setiap tahun oleh BruROSA di mana sumbangan dalam bentuk pek makanan tengah hari dikumpulkan serta diagih-agihkan kepada pekerja-pekerja binaan.

Ahli BruROSA dan sukarelawan bergambar ramai pada hari kedua Projek Unsung Heroes di kawasan letak kereta Jame ‘Asr Hassanil Bolkiah.
Para pekerja binaan gembira menerima sumbangan yang diagih-agihkan di kawasan tapak pembinaan yang dikenal pasti.
Para sukarelawan membungkus barang sumbangan untuk diagih-agihkan kepada para penerima.

Seperti yang ditekankan oleh tema acara, The Life of Giving, projek itu bermatlamat untuk menghulurkan khidmat bakti dan penghargaan kepada pekerja-pekerja binaan yang turut menyumbang kepada pembangunan Negara Brunei Darussalam di mana mereka kurang menerima pengiktirafan serta penghargaan daripada orang ramai.

Oleh itu, menerusi projek berkenaan, diharap dapat meningkatkan kesedaran dalam kalangan masyarakat mengenai diskriminasi terhadap pekerja asing dan pada masa yang sama untuk memupuk nilai-nilai kebajikan dan kesukarelawanan dalam kalangan golongan belia.

Pada hari pertama projek berkenaan yang bermula pada pukul 9 pagi, seramai 12 orang ahli BruROSA telah berkumpul di kawasan letak kereta Jame ‘Asr Hassanil Bolkiah di mana mereka bersedia untuk menerima sumbangan daripada orang ramai sehingga pukul 3 petang.

Kegiatan amal itu diteruskan pada hari kedua projek membabitkan 12 orang ahli BruROSA dan 21 orang sukarelawan seawal pukul 7 pagi, mereka menerima sumbangan yang merangkumi pek makanan tengah hari, makanan kering, makanan dalam tin, minuman botol, snek, minyak masak dan beras.

Pada kira-kira pukul 11 pagi, sebanyak lapan buah kumpulan dibahagikan dan ditugaskan untuk menghantar sumbangan berkenaan ke 10 buah tapak pembinaan yang berasingan.

Antara tapak yang mereka kunjungi termasuklah di Regent Square, Masjid Kampung Kapok dan Jalan Bedil dengan seramai 206 orang pekerja binaan menerima pek makan tengah hari semasa projek berkenaan.

Menerusi aktiviti kesukarelawanan itu, ia memberikan pengalaman yang amat bermakna bagi para peserta mempelajari pentingnya kerjasama dan sokongan padu setiap pihak untuk melaksanakan tugas yang diamanahkan dengan jayanya serta membantu golongan masyarakat yang memerlukan atau yang kurang bernasib baik.

BruROSA merupakan sebuah persatuan pegawai-pegawai agama dari serata United Kingdom dan Eire yang menangani kebajikan keagamaan semua pelajar Brunei yang menuntut di UK dan Eire.

Pada masa ini, persatuan itu mempunyai 16 orang ahli jawatankuasa eksekutif dan 32 orang pegawai agama daripada semua badan pelajar Brunei di UK dan EIRE.

Selain daripada Projek Unsung Heroes, BruROSA turut menganjurkan pelbagai acara tahunan termasuk Kem Ibadah, khatam Al-Quran, pertandingan fotografi dan penulisan.

Persatuan itu menyatakan harapan untuk terus menganjurkan acara-acara bermakna yang dapat disertai oleh semua dalam masa yang terdekat.