Askar maut diserang Taliban

TALUQAN, 19 OGOS – Seorang askar terbunuh manakala seorang lagi diculik dalam satu serangan yang dilancarkan Taliban terhadap pasukan keselamatan di daerah Dasht-e-Qala di wilayah Takhar utara Afghanistan hari ini.

Jurucakap wilayah itu Mohammad Jawad Hajari berkata ketika kejadian, kedua-dua askar berkenaan sedang membuat rondaan dekat pusat pemeriksaan keselamatan, lapor agensi berita Xinhua.

Sementara itu, seorang penduduk tempatan yang enggan namanya disiarkan berkata, seorang askar menembak rakannya sebelum merampas senjata mangsa dan kemudian bergabung dengan pemberontak di kawasan itu.

Hajari bagaimanapun, menafikannya dan berkata siasatan sudah dibuat mengenai kejadian itu. – Bernama