Oleh Daniel Lim
BELAIT, 22 APRIL – Bagi meningkatkan kurikulum murid kindergarten, pada masa yang sama menyokong pembangunan awal kanak-kanak menerusi pelbagai aktiviti kelas, Sekolah Menengah Chung Ching (CCMS) Bahagian Kindergarten (KG) telah mengendalikan Program Lepas Sekolah (ASP) Modul 3, Shining Star.
Direka dan disediakan oleh semua guru CCMS KG, program berkenaan bertujuan untuk membolehkan 30 murid KG seronok belajar di luar kelas dan menyediakan mereka dengan pengalaman pembelajaran kehidupan sebenar yang boleh meluaskan pengetahuan dan akhirnya meningkatkan pencapaian akademik keseluruhan.
Aktiviti-aktiviti berkenaan dijalankan dalam lapan sesi yang diadakan setiap Selasa dan Khamis, yang merangkumi aktiviti seperti seni dan kraf tangan, kulinari dan aktiviti luar kelas serta lawatan.
Dibahagikan kepada dua kumpulan, diberikan nama Pineapple dan Coconut, murid-murid menyertai pelbagai sesi termasuk pengenalan tema modul bagi tahun ini iaitu Hawaiian.
Ini menyaksikan para murid belajar beberapa perkataan Hawaii dan mendengar cerita tradisi dari pulau-pulau Hawaii dan menghasilkan karya seni mengenai beberapa ikon penting Hawaii, yang meluaskan pengetahuan murid-murid mengenai tema berkenaan.
Aktiviti lain termasuk membuat kalungan bunga, menghasilkan kraftangan dan diakhiri dengan festival Hawaii mini di mana semua murid memakai pakaian berbunga dan berwarna-warni.