Aspek kesihatan mental diketengahkan

Oleh Siti Nur Wasimah S.

BANDAR SERI BEGAWAN, 10 Okt – Jerayawara Kesihatan Mental yang dianjurkan oleh Projek MhIND (Mental Health Initiative and Drive) merupakan projek kemasyarakatan enam orang pegawai kerajaan yang sedang mengikuti Program Eksekutif Muda Kohot ke-3, telah diteruskan lagi hari ini, di Teratak Putih, Universiti Teknologi Brunei (UTB).

Sebanyak 10 petak pameran disediakan pada jerayawara berkenaan dengan mengetengahkan pelbagai perisian menarik yang berkait rapat dengan kesihatan minda antaranya Deen Booth iaitu pondok kesihatan mental melalui perspektif Islam, pemeriksaan kesihatan mental, tayangan filem, pameran kesihatan mental, kaedah menangani tekanan, pondok kecergasan, Projek Assalamualaikum, Letter Message Exchange Booth, pondok gambar, Pledge Booth, Bunny café dan pelbagai permainan serta kuiz-kuiz menarik berkaitan kesihatan mental.

Diadakan bersempena Hari Kesihatan Mental Sedunia 2018 yang membawa tema ‘Belia Muda dan Kesihatan Mental dalam Perubahan Dunia’, jerayawara tersebut juga akan diadakan di Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) pada 13 Oktober ini.

Menurut kenyataan yang diberikan, isu kesihatan mental dilihat mempunyai kepentingan tinggi untuk diketengahkan ketika ini memandangkan dua masalah kesihatan mental yang dikenal pasti tertinggi di negara ini adalah masalah kemurungan dan kebimbangan yang berlebihan, berdasarkan kajian Dr Hilda Ho pada 2017.

Dalam mengetengahkan perkara ini, Projek MhIND turut mengadakan pertandingan video Instagram bertemakan ‘Open Up’ yang mengalu-alukan orang ramai untuk berkongsi video selama dua minit yang berkaitan dengan kesihatan mental melalui kreativiti masing-masing di mana penyertaannya akan berakhir Sabtu ini.

Ahli-ahli Projek MhIND bergambar ramai semasa menganjurkan Jerayawara Kesihatan Mental di UTB, kelmarin.

Projek MhIND ditaja oleh Kolej Perdagangan Laksamana (LCB), Telekom Brunei Berhad (TelBru), Fitness Zone dan Energy Kitchen.

Ia bermatlamat untuk memberigakan kefahaman yang lebih mendalam tentang isu kesihatan mental dan mendidik masyarakat umumnya serta para remaja khususnya tentang betapa pentingnya mempunyai minda yang sihat dan memeliharanya.

Di samping itu juga untuk menepis stereotaip dan stigma yang timbul berkaitan masalah kesihatan mental, menyediakan platform dan sokongan untuk orang ramai bercakap tentang masalah kesihatan mental secara lebih terbuka, berkongsi kaedah-kaedah yang bijak dalam menangani masalah dan menyalurkan maklumat berkenaan individu yang berkepa-karan dan tempat-tempat yang tepat untuk mendapatkan bantuan serta menggalakkan orang ramai untuk mendapatkan bantuan tanpa teragak-agak.

Projek MhIND juga menyasarkan agar ada peningkatan sokongan masyarakat terhadap orang-orang yang mengalami masalah kesihatan mental dan projek ini mendapat sokongan padu masyarakat Brunei sendiri dan berterusan menggalakkan masyarakat untuk mengamalkan gaya hidup sihat, fizikal dan mental, demi mencapai Wawasan Brunei 2035.

Projek berkenaan diungkayahkan oleh enam orang pegawai kerajaan dari kementerian berlainan iaitu Awangku Haji Muhammad Nadhir A’qil bin Pengiran Mohd Anuar, Haji Mohd Danial Azizi bin Haji Mahadi, Dayang Nurul Rafidah binti Haji Ibrahim, Dayang Siti Syamsiah binti Jumaat, Dayang Izyan Nayli binti Haji Abdul Aziz dan Dayangku Aliana binti Pengiran Haji Abdullah.

Mereka sedang menjalani Program Eksekutif Muda Kohot ke-3 selama tujuh bulan kendalian Institut Perkhidmatan Awam dan Jabatan Perkhidmatan Awam, Jabatan Perdana Menteri.