Aspirasi negara capai pengangkutan mapan

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 17 OKT – Aspirasi Negara Brunei Darussalam untuk mencapai pengangkutan yang mampan adalah melalui tiga komponen utama iaitu peningkatan keselamatan jalan raya yang progresif di mana ke arah usaha menangani isu-isu keselamatan jalan raya, satu Pelan Strategik Keselamatan Jalan Raya Negara Brunei Darussalam 2025 telah dilancarkan pada Disember 2020 dengan visi untuk mencapai sifar kematian kemalangan jalan raya menjelang 2025.

Ia mengandungi senarai strategi dan inisiatif yang komprehensif termasuk menggunakan teknologi dalam menangani isu-isu keselamatan jalan raya, menyusun semula sistem pengangkutan awam yang juga mengambil kira kawasan-kawasan yang terpencil yang mungkin mempunyai akses terhad kepada kesaling-hubungan dalam komunikasi dan pengangkutan serta untuk menjadikan Negara Brunei Darussalam sebagai negara pintar dan bandar pintar melalui inovasi, penyelidikan dan pembangunan yang dilaksanakan oleh Council for Research and Advancement in Technology and Science (CREATES).

Aspirasi itu dikongsi oleh Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Abdul Mutalib bin Pehin Orang Kaya Seri Setia Dato Paduka Haji Mohammad Yusof dalam ucapannya semasa Forum Menteri-menteri pada hari kedua Persidangan United Nations Global Sustainable Transport ke-2 yang diadakan secara sidang video selama tiga hari, 14 hingga 16 Oktober.

Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi (MTIC) dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini, hari ini, menyatakan bahawa forum berkenaan membincangkan Sustainable transport, poverty, eradication and economic recovery-direct exchange of views and sharing of national experiences yang diadakan pada 15 Oktober di mana ia melibatkan menteri-menteri dari 22 buah negara termasuk Brunei Darussalam.

Yang Berhormat Dato dalam ucapannya turut menyatakan bahawa melalui pengurusan pengangkutan, ia membolehkan untuk memahami lebih lanjut akan trend dan corak baru yang dapat berfungsi sebagai input utama kepada penggubalan dasar pengangkutan di Brunei Darussalam.

Yang Berhormat Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi ketika menghadiri forum menteri-menteri yang diadakan secara persidangan video, baru-baru ini. – Gambar serahan MTIC

Beliau berkata bahawa antara dasar negara yang sedang ditangani termasuklah inisiatif ke arah mengurangi jejak karbon (carbon footprint) dan menggalakkan penggunaan pengangkutan pelbagai guna.

Yang Berhormat Dato juga berharap, melalui persidangan berkenaan negara-negara yang mengikuti forum berkenaan akan dapat mengongsi pengalaman dan bertukar-tukar pendapat dan idea dalam menangani isu-isu dan cabaran khususnya semasa pandemik COVID-19 yang telah menjejaskan sistem pengangkutan, logistik, rantaian bekalan dan ekonomi.

Persidangan yang membawa tema Sustainable Transport, Sustainable Development itu telah dirasmikan oleh Presiden Republik Rakyat China, Tuan Yang Terutama Xi Jinping dan Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), TYT Antonio Guterres.

Persidangan telah dipengerusikan oleh Menteri Pengangkutan, Republik Rakyat China, TYT Li Xiaopeng di mana persidangan tiga hari membincangkan perkara-perkara utama yang menumpukan kepada tema persidangan iaitu kemiskinan, mata pencarian dan pertumbuhan, pembangunan serantau, kesalinghubungan termasuk kawasan luar bandar dan negara dalam keadaan khas, pembangunan hijau, mitigasi perubahan iklim, adaptasi dan ketahanan, dasar untuk pengangkutan yang mampan serta bandar-bandar mampan.

Kenyataan menyatakan bahawa forum-forum khas turut diadakan bagi membincangkan penggunaan sains, teknologi dan inovasi serta peranan sektor swasta dalam memajukan pengangkutan yang mampan serta berdaya tahan.

Semasa majlis penutup, persidangan itu menghasilkan Beijing Statement of the 2nd United Nations Global Sustainable Transport Conference yang menggariskan kepentingan serta hala tuju bagi mencapai transformasi pengangkutan yang mampan dan berdayatahan.

Kenyataan menyatakan itu, turut menyertai persidangan ialah Setiausaha Tetap di MTIC, Haji Mohammad Nazri bin Haji Mohammad Yusof, Pemangku Timbalan Setiausaha Tetap (Pengangkutan), Haji Mohd. Salihin bin Haji Aspar serta pegawai-pegawai kanan dari MTIC.