Asrama pekerja asing sebagai kluster baharu

SINGAPURA, 6 APRIL – Singapura yang mewartakan dua asrama pekerja asing sebagai kawasan isolasi kelmarin, telah mengenal pasti sebuah asrama lain sebagai satu kluster baharu COVID-19.

Kluster baharu asrama Tampines Dormitory di Tampines Place, sehingga kini dilaporkan terdapat tiga kes yang disahkan, menurut Kementerian Kesihatan Singapura dalam satu kenyataan lewat malam tadi.

Menurutnya selain Tampines Dormitory, dua kluster baharu telah dikenal pasti, masing-masing di Cochrane Lodge I di Admiralty Road West, dan sebuah tapak pembinaan di Battery Road.

Menurut kenyataan itu, dua lagi kes dilaporkan daripada sektor kesihatan awam; melibatkan seorang doktor di KK Women’s and Children’s Hospital dan seorang juruteknik di Ng Teng Fong General Hospital.

Sementara itu menurutnya asrama isolasi, [email protected] di Seletar North Link ketika ini menempatkan 63 kes, manakala asrama Westlite Toh Guan di Toh Guan Road East 28 kes yang disahkan.

Sehingga tengah hari kelmarin, 23 lagi kes jangkitan COVID-19 telah dibenarkan keluar dari hospital atau fasiliti isolasi komuniti, menjadikan sehingga kini 320 telah sembuh sepenuhnya daripada jangkitan COVID-19.

Daripada 569 kes disahkan yang masih dirawat di hospital, kebanyakannya dalam keadaan stabil atau semakin pulih, manakala 25 lagi dalam keadaan kitikal dan sedang menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi.

Singapura sehingga kini mencatatkan sejumlah 1,309 kes disahkan dengan enam kematian dan 17,345 kontak rapat dikuarantin. – Bernama