Asrama, rumah pekerja dipantau

Oleh Syahmi Hassan

BANDAR SERI BEGAWAN, 20 OKT – Kebelakangan ini, terdapat peningkatan kes-kes positif dalam kalangan pekerja-pekerja yang tinggal dalam kediaman dan menyebabkan kluster-kluster baharu yang melibatkan jumlah yang tinggi.

Sehubungan itu, Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham bin Haji Jaafar memaklumkan bahawa dalam usaha untuk mengenal pasti rumah-rumah atau dormitori pekerja yang mempunyai risiko penularan COVID-19 sedemikian, pihak kerajaan menyediakan lapan talian telefon bagi membolehkan orang ramai memberikan maklumat mengenai lokasi-lokasi rumah pekerja atau dormitori kepada pihak berkuasa.

Lapan talian telefon tersebut ialah 8196148, 8234148, 8236148, 8237148, 8239148, 8244148, 8245148, dan 8246148.

“Maklumat yang diberikan boleh disampaikan sama ada melalui panggilan telefon ataupun WhatsApp berserta gambar dan lokasi,” tambah beliau semasa sidang media harian di Kementerian Kesihatan, hari ini.

Beliau menjelaskan, perkhidmatan berkenaan dikendalikan oleh Jabatan Buruh dan Jabatan Imigresen dan Pendaftaran Kebangsaan yang mana maklumat yang diperoleh daripada orang ramai akan membantu pihak-pihak berkuasa membuat penilaian kesihatan dan keadaan persekitaran di samping memastikan pekerja-pekerja berkenaan telah menerima vaksinasi COVID-19.

Yang Berhormat Menteri Kesihatan semasa memberikan penerangan pada sidang media kelmarin. Turut hadir ialah Setiausaha Tetap Kementerian Kesihatan, Haji Maswadi bin Haji Mohsin. – Gambar oleh Muiz Matdani