LONDON 1 Mei – Pengasas WikiLeaks, Julian Assange hari ini dijatuhkan hukuman penjara 50 minggu kerana melanggar perintah mahkamah Britain tujuh tahun lalu apabila berlindung di Kedutaan Ecuador, London bagi mengelakkan ekstradisi ke Sweden.
Pembocor rahsia dari Australia itu ditahan pada 11 April lalu selepas Ecuador menyerahkannya kepada pihak berkuasa, akan menjalani hukuman penjara hampir setahun ketika memperjuangkan cubaan untuk memindahkannya ke Amerika Syarikat.
Lelaki berusia 47 tahun, dengan misai dipotong kemas, menunjukkan penumbuk kepada penyokongnya di kandang tertuduh Mahkamah Southwark Crown apabila dibawa ke selnya.
Penyokongnya membalas dengan menaikkan penumbuk mereka sambil menjeritkan ‘Kamu memalukan’ ke arah mahkamah.
Assange melarikan diri ke kedutaan itu pada 2012 selepas hakim memerintahkan ekstradisi untuk dakwaan serangan seksual dan rogol di Sweden yang dinafikannya sekeras-kerasnya.
Dia mendakwa tuduhan itu hanya satu alasan untuk memindahkannya ke Amerika Syarikat (AS) yang mendakwanya melakukan penyebaran berjuta-juta dokumen sulit oleh WikiLeaks. – AFP