Wednesday, February 19, 2025
26.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Assange mohon Sweden gugurkan waran tangkap

    STOCKHOLM, 4 Mei – Pengasas WikiLeaks Julian Assange memfailkan satu usul baru di Sweden semalam meminta agar waran tangkap Eropah berhubung dakwaan merogol digugurkan, selepas AS menyatakan berusaha menahan beliau, kata peguamnya.

    Warga Australia berusia 45 tahun itu menafikan tuduhan di Sweden yang bertarikh pada 2010, yang dikhuatirinya akan melihat beliau dihantar pulang ke AS.

    Beliau telah bersembunyi di kedutaan Ecuador di London sejak 2012 dan menghadapi risiko ditahan oleh polis Britain sebaik sahaja beliau keluar daripada bangunan.

    Peguam warga Sweden Per Samuelsson berkata usul baru itu difailkan disebabkan Peguam Negara AS Jeff Sessions berkata pada April bahawa menahan Assange akan menjadi satu ‘keutamaan’ Jabatan Keadilan AS.

    “Ia menandakan sekarang kami boleh menunjukkan AS mempunyai semangat untuk mengambil tindakan. Sebab itu kami meminta waran tangkapan dibatalkan supaya Julian Assange boleh terbang ke Ecuador dan menikmati perlindungan politiknya,” beritahu Samuelsson kepada wartawan.

    Beliau berkata usul itu difailkan di mahkamah Stockholm semalam dan ia harus mengambil masa dua hingga tiga minggu untuk keputusan diumumkan.

    Assange bimbang pemenjaraan di AS mengenai kebocoran beratus ribu rahsia tentera AS dan dokumen diplomatik oleh WikiLeaks yang pertama menarik perhatian pada 2010.

    Beliau telah membuat banyak rayuan kepada mahkamah Sweden termasuk Mahkamah Agung, namun tewas dalam lapan percubaan untuk membatalkan waran tangkap itu.

    Hakim Sweden enggan mengambil kira pendapat Kumpulan Kerja PBB mengenai Penahanan Sewenang-Wenang, yang pada Februari 2016 berkata Assange ‘ditahan sewenang-wenangnya’ oleh Sweden dan Britain sambil meminta waran itu dibatalkan. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda