Astra peroleh biaya vaksin AS$1 bilion dari AS

LONDON, 21 MEI – Kumpulan farmaseutikal Britain, AstraZeneca hari ini mengatakan ia telah memperoleh lebih AS$1 bilion dari Amerika Syarikat (AS) untuk membantu membiayai penghasilan vaksin koronavirusnya.

AstraZeneca sedang bekerjasama dengan Universiti Oxford untuk membangun dan mengedarkan vaksin yang sedang diuji di UK.

Ia muncul di tengah-tengah kebimbangan yang AS mungkin mempunyai vaksin sebelum negara-negara lain disebabkan pembiayaan skala besarnya ke atas syarikat-syarikat farmaseutikal di seluruh dunia.

AstraZeneca hari ini berkata ia telah ‘menerima sokongan lebih AS$1 bilion dari Pihak Berkuasa Kemajuan Penyelidikan dan Pembangunan Bioperubatan AS bagi pembangunan, pengeluaran dan penghantaran vaksin’.

Syarikat itu bagaimanapun menambah ia sedang berhubungan dengan kerajaan-kerajaan dan institusi kesihatan antarabangsa untuk memastikan vaksin itu diperolehi di seluruh dunia.

AstraZeneca berkata ia mencapai persetujuan bagi 400 juta dos vaksin pertama – dan telah menghasilkan kapasiti sekitar satu bilion dos, dengan diharapkannya akan mula dihantar pada September. – AFP

Gambar fail bertarikh 20 Februari menunjukkan bangunan AstraZeneca di selatan San Francisco, California. Pengeluar ubat AstraZeneca memperoleh persetujuan pertamanya pada 21 Mei untuk menghasilkan 400 juta dos vaksin COVID-19. – AP