AstraZeneca, darah beku ada kaitan

ROM, 6 APRIL – Pegawai tertinggi di Agensi Ubat-ubatan Eropah (EMA) berkata dalam temu bual diterbitkan hari ini bahawa terdapat kaitan antara vaksin koronavirus AstraZeneca dan pembekuan darah.

“Dalam pandangan saya, kami boleh katakan sekarang, jelas ada kaitan dengan vaksin. Tetapi kami masih tidak mengetahui apa yang menyebabkan reaksi itu,” ketua vaksin EMA, Marco Cavaleri memberitahu akhbar Itali, II Messaggero.

Menurutnya, ”Dalam beberapa jam akan datang, kami akan mengatakan terdapat kaitan, tetapi kami masih belum memahami bagaimana ia berlaku.”

Persoalan yang sering dikemukakan sama ada kejadian pembekuan darah yang jarang tetapi serius dalam kalangan mereka yang mendapatkan suntikan vaksin AstraZeneca adalah lebih kerap dalam populasi awam, menyebabkan kurangnya keyakinan terus menghantui vaksin itu.

Selepas beberapa buah negara menggantungkan penggunaan vaksin AstraZeneca – termasuk Itali – EMA sebelum ini mengesahkan kelebihan melangkaui kemudaratan dan ia sepatutnya boleh terus digunakan. Namun mereka juga mengatakan kaitan antara pembekuan dan vaksin itu adalah tidak mustahil, dan dijangka untuk memberikan penilaian terkini pada minggu ini.

“Kami cuba mendapatkan gambaran jelas apa yang berlaku, untuk menentukan butiran gejala disebabkan vaksin,” kata Cavaleri.

Dia menambah, “Antara mereka yang sudah menerima suntikan, terdapat lebih banyak kes trombosis serebrum…di kalangan orang muda berbanding yang kami jangkakan.” – AFP

Kakitangan perubatan memberikan suntikan vaksin di tengah England. EMA berkata terdapat kaitan antara vaksin koronavirus AstraZeneca dan pembekuan darah. – AFP