AstraZeneca diluluskan untuk golongan lebih 65 tahun

BERLIN, 4 MAC – Suruhanjaya vaksin Jerman kini meluluskan penggunaan vaksin COVID-19 AstraZeneca/Oxford untuk golongan berusia lebih daripada 65 tahun, kata kementerian kesihatan hari ini.

“Suruhanjaya vaksin kini meluluskan vaksin AstraZeneca untuk orang berusia lebih daripada 65 tahun. Ia adalah berita baik untuk warga emas yang sedang menunggu untuk mene-rima suntikan,” kata Menteri Kesihatan Jens Spahn.

Jerman berkata sebelumnya bahawa ia kekurangan data untuk meluluskan vaksin untuk warga emas, namun telah mengubah dasarnya berikutan kajian terbaharu.

“Data baharu juga menunjukkan vaksin tersebut adalah lebih efektif apabila suntikan pertama dan kedua diberikan selang 12 minggu,” menurut Spahn.

Beliau menambah undang-undang vaksin Jerman akan dipinda tidak lama lagi untuk mencerminkan cadangan baharu itu.

Pengumuman hari ini keluar selepas Canselor Angela Merkel berkata semalam suruhanjaya akan mengubah kedudukan mereka mengenai suntikan AstraZeneca.

Kerajaan Jerman telah menerima kritikan dalam beberapa minggu ini atas komunikasi yang kurang jelas mengenai suntikan AstraZeneca, mendorong kepada tanggapan orang awam bahawa vaksin adalah kurang berkesan berbanding yang dibangunkan oleh Pfizer-BioNTech dan Moderna. – AFP

Pakej vaksin AstraZeneca dipamerkan di negeri Brandenburg di mana vaksinasi koronavirus pertama diberikan di Senftenberg, Jerman pada 3 Mac 2021. – AP