AstraZeneca pula tangguh pengeluaran vaksin COVID-19

PARIS, 24 JAN – Amaran pengeluar vaksin, AstraZeneca bahawa bekalan awal vaksin COVID-19 ke Eropah akan dikurangkan berbanding sasaran telah menimbulkan kebimbangan baharu berhubung pelancaran inokulasi di benua itu.

Ia sekali gus memaksa beberapa negara dalam Kesatuan Eropah (EU) merancang strategi lain bagi menangani pandemik COVID-19, berikutan pengurangan dan penangguhan bekalan vaksin itu.

Pengumuman firma farmasi Britain kelmarin, diikuti minggu lalu oleh satu lagi pengeluar vaksin COVID-19, Pfizer, menjelaskan akan menunda penghantaran vaksinnya hingga sebulan.

Amaran syarikat itu muncul di tengah kebimbangan ketara terhadap varian baharu COVID-19, terutamanya di Britain, dipercayai lebih banyak menular berbanding varian asal.

AstraZeneca dalam kenyataan berkata, jika persetujuan Kesatuan Eropah (EU) diberikan, jumlah awal adalah lebih rendah daripada jangkaan walaupun permulaannya tidak akan ditunda. Syarikat itu menyalahkan penurunan keluaran di lokasi pembuatan di rantaian bekalan Eropah.

Bagaimanapun, katanya, ia akan memberikan EU jutaan dos sambil meningkatkan pengeluaran pada bulan Februari dan Mac ini. Pesuruhjaya Kesihatan Eropah, Stella Kyriakides, berkata pengumuman itu menimbulkan ‘rasa tidak puas hati mendalam’ di kalangan negara anggota EU yang bertegas mahu jadual pengiriman tepat.

Sementara itu, Menteri Kesihatan Austria, Rudolf Anschober, menyifatkannya sebagai ‘berita buruk’ dan menegaskan negara itu hanya akan menerima lebih sedikit berbading separuh daripada jangkaan 650,000 dos AstraZeneca, pada bulan hadapan. – AFP

Dr Fiona Sheppard menyediakan vaksin Oxford/AstraZeneca di sebuah pusat vaksinasi sementara di Stadium Keepmoat di Doncaster, utara England kelmarin. – AFP