AstraZeneca tidak diberi kepada golongan muda

MANILA/SYDNEY, 8 APRIL – Filipina dan Australia hari ini menyertai beberapa buah negara yang menangguhkan penggunaan vaksin koronavirus AstraZeneca bagi golongan muda susulan kebimbangan ia akan menyebabkan pembekuan darah yang serius.

Jabatan Kesihatan Filipina hari ini menangguhkan penggunaan vaksin AstraZeneca bagi penduduk di bawah umur 60 tahun yang muncul di tengah-tengah peningkatan jangkitan koronavirus yang memaksa lebih 24 juta orang di bandar dan sekitar wilayah dikenakan sekatan pergerakan.

Filipina telah menerima sekitar 2.5 juta dos vaksin COVID-19 setakat ini – majoritinya dari Sinovac China.

Ia juga menerima 525,600 dos AstraZeneca menerusi program Covax, yang kebanyakannya sudah pun diberikan, menurut data rasmi.

Filipina menjangkakan akan menerima tiga juta lagi dos AstraZeneca dalam beberapa bulan ini.

Sementara itu para pegawai Australia berkata AstraZeneca tidak akan diberikan kepada penduduk yang berusia di bawah 50 tahun, melainkan mereka sudah menerima dos pertama tanpa sebarang kesan sampingan.

Perdana Menteri Scott Morrison mengadakan sidang media untuk mengumumkan keputusan itu sejurus lembaga penasihat perubatan kerajaan memutuskan untuk menyusuli negara-negara lain dan Eropah dalam mengehadkan penggunaan AstraZeneca. – AFP

Ilustrasi yang diambil pada 8 April menunjukkan nama vaksin AstraZeneca di Salzburg, Austria. – AFP