Atap rosak akibat pokok tumbang

Oleh Sim Y.H.

Bandar Seri Begawan, 19 JULAI – Sebuah rumah mengalami kerosakan pada bahagian atap di ruang tandas apabila sepohon pokok mangga tumbang dalam kejadian di Kampung Pancha Delima, pagi tadi.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBP) di sini hari ini, lima orang anggota dari Balai Bomba Unit Operasi Wanita yang diketuai oleh ASO Hajah Habybah Binti Haji Ya’akub dikerahkan ke tempat kejadian setelah menerima panggilan pada pukul 10:59 pagi.

Kenyataan menyatakan bahawa di tempat kejadian, mereka mendapati sepohon pokok mangga berukuran 20 meter panjang dan 40 sentimeter garis pusat telah tumbang dan menghempap sebahagian atap rumah di kawasan tandas.

Pemilik rumah adalah seorang lelaki warga tempatan bersama 15 orang penghuni.

Anggota bomba dan penyelamat segera bertindak memotong pokok tersebut menggunakan dua buah gergaji rantai (chain saw). Dalam kejadian berkenaan, tidak ada kecederaan dan korban jiwa berlaku.

JBP menyarankan orang ramai supaya lebih berwaspada dan tahu akan keselamatan mengenai pokok tumbang semasa keadaan cuaca tidak menentu, mengelak daripada menanam pokok terlalu dekat dengan rumah dan amalkan penjarakan bagi penanaman pokok-pokok tersebut.

Pokok merupakan elemen yang penting bagi manusia dan haiwan akan tetapi ianya boleh juga mendatangkan kemudaratan dan risiko kepada sekeliling seperti pokok tumbang boleh menghempap rumah semasa cuaca tidak menentu.

Jika berlaku sebarang insiden kecemasaan, orang ramai boleh menghubungi talian kecemasan 995 dan memberikan maklumat yang tepat.

Atap sebuah rumah yang rosak di Kampung Pancha Delima dihempap pokok. – Gambar serahan JBP