Wednesday, November 6, 2024
25.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Atasi masalah dengan memberi balik kepada masyarakat

    Oleh Salawati Haji Yahya –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 22 SEPT – Pada zaman moden ini walaupun dengan segala kemajuan teknologi di tahap yang tidak pernah disaksikan sebelum ini serta kemudahan rawatan kesihatan moden yang semakin berkembang, kita berhadapan dengan satu cabaran yang besar iaitu peningkatan masalah kesihatan mental.

    Apa yang lebih membimbangkan trend itu bukan sahaja berlaku di Brunei, Singapura dan Malaysia, malah ia berlaku di seluruh dunia dan ia tidak boleh dipandang remeh atau diabaikan, tekan penceramah undangan, Muhammad Tarmizi bin Abdul Wahid semasa menyampaikan ceramah perdana bertajuk Pentingnya Kesedaran: Mengutamakan Kesihatan Mental dalam Dunia Moden pada Majlis Ilmu 2024 yang berlangsung di Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas, kelmarin.

    Menurutnya, semakin ramai orang hari ini mula menyedari secara bertahap, mereka sendiri terjejas dengan masalah kesihatan mental atau menyedari orang-orang di samping mereka sedang mengalaminya secara senyap atau secara jelas.

    Beliau menjelaskan, mengapa kesihatan mental menjadi keutamaan dalam hidup kerana telah terbukti dalam banyak kajian menunjukkan kebahagiaan dan kesejahteraan seseorang itu terletak pada status kesihatan mental.

    Sekiranya kesihatan mental seseorang itu kurang baik, tambahnya, ia akan menjejaskan kerjaya, rumah tangga, pembelajaran dan kehidupan secara umum.

    Muhammad Tarmizi semasa menyampaikan ceramah perdana. – GAMBAR OLEH RAFI ROSLI
    Antara yang hadir mendengarkan ceramah perdana pada Majlis Ilmu, kelmarin. – GAMBAR OLEH RAFI ROSLI

    Tambahnya, cabaran hari ini yang sering dilontarkan termasuk kemurungan, tekanan, kebimbangan dan trauma.

    Beliau turut menegaskan, isu-isu seperti itu tidak boleh diambil remeh kerana ia boleh menjejaskan sesiapa sahaja tidak kira sama ada pelajar, karyawan, suri rumah, suami dan sebagainya.

    Menurutnya, cabaran yang wujud dalam hal kesihatan mental terlalu banyak dan kompleks dan ia memerlukan kita untuk memperbanyakkan membaca dan mengkaji serta mengurangkan penghukuman yang dibuat atas dasar emosi dan kejahilan.

    Dalam ceramahnya, Muhammad Tarmizi turut mengongsikan doa untuk menghilangkan kebimbangan dan terbelit hutang yang diajarkan Nabi Muhammad SAW.

    Dalam kehidupan ini, katanya, antara cara utama untuk mengatasi kebanyakan masalah adalah dengan menghulurkan bantuan kepada orang lain, tidak ada cara yang lebih baik bagi merawat hati selain memberi balik kepada masyarakat.

    Walaupun logiknya, kita tengah murung dan memerlukan bantuan, tapi apabila kita hentikan berfikir untuk kepentingan diri kita saja dan ubah mindset kepada ‘siapa yang perlu saya bantu’, maka yakinlah apabila kita membantu orang lain, Allah akan membuka ruang dan menunjukkan jalan keluar daripada segala masalah dan kesempitan atas apa yang kita hadapi.

    Selain itu, katanya, tekanan psikologi dan kebimbangan dapat diubati dengan membaca Al-Quran dan merenungi maknanya.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda