Friday, December 6, 2024
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Atlanta lebur impian Miami menangi gelaran Piala MLS

    FORT LAUDERDALE, 10 NOV – Impian Lionel Messi untuk memenangi gelaran Piala Major League Soccer (MLS) berakhir secara mengejut kelmarin apabila Inter Miami tersingkir di pusingan pertama playoff setelah tewas 3-2 di tempat sendiri kepada Atlanta United.

    Miami telah memenangi kempen musim biasa dengan rekod jumlah mata tertinggi, namun selepas tewas dua kali dalam siri terbaik daripada tiga perlawanan, pasukan pilihan Piala MLS dan pemenang Ballon d’Or lapan kali itu kini tersingkir.

    Semua pujian yang diterima Miami untuk kejayaan mereka dalam ‘Perisai Penyokong’ musim biasa mereka kini tidak lagi bermakna selepas pasukan Atlanta yang menduduki tempat kesembilan dalam Eastern Conference berjaya membuat kejutan besar.

    Inter mendahului pada minit ke-17 apabila percubaan Messi dinafikan oleh penjaga gol Atlanta, Brad Guzan tetapi Matias Rojas menyusul untuk menyempurnakan bola yang bebas.

    Selepas dua minit kemudian, pasukan pelawat, yang hanya layak ke pusingan wildcard pada hari terakhir musim ini, menyamakan kedudukan apabila hantaran melencong daripada Dax McCarty jatuh kepada Jamal Thiare yang dengan yakin merembat untuk menjaringkan gol.

    Miami terkejut apabila beberapa saat kemudian Thiare sekali lagi menjaringkan gol, McCarty yang berusia 37 tahun menghantar bola kepada pemain Rusia, Aleksei Miranchuk yang kemudian menghantar bola kepada penyerang Senegal itu yang meledak masuk untuk menjadikan kedudukan 2-1.

    Diego Gomez menyangka dia telah menyamakan kedudukan untuk Miami pada minit ke-23 tetapi percubaannya dibatalkan kerana ofsaid dan Miami terus kelihatan terdedah terhadap serangan balas pantas Atlanta. – AFP

    Aksi Messi (tengah) semasa perlawanan bola sepak MLS di Fort Lauderdale, Florida pada 9 November. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda