Oleh Pg Fairol RMF
BANDAR SERI BEGAWAN, 7 Ogos – Awang Faisal bin Haji Salleh berjaya mengharumkan nama negara setelah muncul johan dalam pertandingan bina badan Kejohanan Dunia International Federation Bodybuilders (IFBB) League Pro Qualifier World Regional di Singapura, baru-baru ini.
Beliau yang berjaya membawa pulang pingat dan sijil ‘pro card’ bagi Kategori Master 35 tahun ke atas, merupakan anak tempatan pertama menjuarai kejohanan tersebut yang turut disertai oleh para peserta antarabangsa yang terdiri dari Iran, Amerika Syarikat, China, Korea dan Emiriah Arab Bersatu.
Di samping itu, lima peserta tempatan yang lain, turut menyertai antara sembilan kategori yang dipertandingkan iaitu Kategori Bina Badan Lelaki, Fizik Lelaki, Fizik Klasik dan Kategori Bentuk.
Menurut Awang Faizal, beliau tidak menyangka berpeluang meraih sijil yang diimpikan itu meskipun terpaksa berdepan dengan pesaing profesional dari negara-negara yang lain.
Beliau berharap dengan adanya sijil IFBB itu, akan menjadi kunci kepadanya untuk menyertai mana-mana kejohanan dunia hinggalah ke peringkat Mr Olympia.
