Atlet BJJ negara membanggakan

BANDAR SERI BEGAWAN, 20 SEPT – Empat atlet Brazilian Jiu-jitsu (BJJ) dari Negara Brunei Darussalam mempamerkan pencapaian yang membanggakan di kejohanan Asian IBJJF Jiu-Jitsu 2019 apabila berjaya meraih dua pingat perak dan satu gangsa, baru-baru ini.

Negara diwakili oleh Nobel Lee, Abu Umamah Ali dan Angel Lepi dari The Refinery, serta Haji Abdul Hadi Bakir dari Khalifa Mixed Martial Arts.

Kejohanan tersebut, yang diadakan selama tiga hari di Tokyo Jepun, menyaksikan atlet negara berjaya memperbaiki pencapaian tahun lepas iaitu dua pingat gangsa.

Nobel Lee merupakan atlet paling berjaya dalam kontinjen negara apabila merangkul satu pingat gangsa dalam kelas berat bagi divisyen tali pinggang ungu Master 2, dan pingat perak dalam divisyen berat terbuka.

Dalam saingan divisyen berat terbuka tersebut, Nobel Lee memenangi pusingan pertama ke atas lawan dari Jepun dengan keputusan 4-0. Kemudian mara ke separuh akhir menentang lawan yang sukar dari Brazil, di mana dia bangkit untuk menang 11-9 setelah ketinggalan 0-9.

Nobel Lee menunjukkan pingat perak dan pingat gangsa yang dimenanginya di kejohanan tersebut.
Angel Lepi ketika beraksi menentang Carina Toyama dari Jepun.

Semangat dan kecekalannya itu telah membawanya ke final menentang lawan dari China namun nasib tidak menyebelahinya apabila tewas dan meraih pingat perak.

“Ia adalah pengalaman yang hebat untuk dapat menguji kemampuan saya menentang lawan yang hebat di Asia. Tidak ada pertarungan yang mudah pada tahap ini dan hanya satu kesilapan boleh menyebabkan anda tewas. Saya benar-benar menikmati cabaran ini dan berpuas hati dengan keputusan yang diperoleh,” kata Nobel Lee.

Angel Lepi pula bertarung dalam divisyen tali pinggang biru bagi wanita dewasa, mendominasi lawan dari Jepun pada pusingan pertama dengan keputusan 9-0, hingga mara ke final.

Di final dia berhadapan dengan lawan yang sangat hebat dari Kanada dan terpaksa akur dengan pingat perak.

Sementara itu Abi Umamah Ali dan Haji Abdul Hadi Bakir masing-masing bersaing dalam divisyen tali pinggang ungu Master 3 dan Master 2, meskipun memberikan saingan hebat, mereka gagal melepasi pusingan pertama apabila tewas kepada lawan dari Jepun.