Atlet boling tidak sertai kejohanan luar negara

KUALA LUMPUR, 6 MAC – Kongres Tenpin Boling Malaysia (MTBC) memutuskan untuk tidak membenarkan atlet boling negara menyertai semua kejohanan di luar negara sehingga bulan Mei berikutan penularan COVID-19.

Setiausaha Agung MTBC Maradona Chok berkata keputusan itu dibuat semalam, pada mesyuarat exco tergempar yang diadakan khusus untuk membincangkan mengenai perancangan kejohanan skuad boling kebangsaan berikutan atlet sendiri menyatakan kebimbangan mengenai keselamatan mereka.

“Sebagai pengurus pasukan, berdasarkan perbincangan dengan atlet, saya mendapati kebanyakan mereka bimbang mengenai penularan COVID-19 dan mengambil kira pandangan dan nasihat Majlis Sukan Negara (MSN), saya mencadangkan agar kedua-dua perjalanan ke luar negara itu dibatalkan.

“Exco juga telah bersetuju  dengan cadangan untuk membatalkan perjalanan skuad negara ke luar negara demi keselamatan atlet, dan tidak mahu menimbulkan kebimbangan dalam kalangan atlet dan pegawai. MTBC akan mengkaji semula penyertaan kejohanan pada Jun,” katanya menerusi media sosial.

Berikutan keputusan itu, skuad boling lelaki terpaksa menarik diri daripada menyertai cabaran Brunswick Euro di Munich, Jerman pada 17-21 Mac, manakala pasukan wanita pula menarik diri daripada Siri Jelajah Persatuan Boling Wanita Profesional (PWBA) di Amerika Syarikat.

Skuad wanita juga telah mendaftar untuk menyertai Terbuka Tucson pada 23-25 April, Terbuka Spokane (30 April hingga 2 Mei), Terbuka Sacramento (7-9 Mei) dan Kejohanan USBC Queens (13-19 Mei).

Menurut Maradona, pasukan boling negara akan terus memberi tumpuan kepada latihan di samping menjalani perlawanan play-off untuk memastikan mereka kekal kompetitif.

“Biarpun ia satu situasi yang tidak ideal, tapi menyertai kejohanan di luar negara boleh mendatangkan mudarat daripada kebaikan. Tambahan pula, membiarkan atlet berada dalam risiko jangkitan COVID-19, lebih memberi tekanan kepada mereka. – Bernama