Atlet Brazil raih pingat emas

TOKYO, 27 OGOS – Atlet Brazil berjaya meraih pingat emas dalam acara trek dan balapan di Sukan Paralimpik Tokyo hari ini, sementara dalam acara lain, juara bertahan dari Australia mengesahkan kedudukan ke separuh akhir dalam acara ragbi bagi peserta berkerusi roda.

Sebanyak 45 pingat emas di sukan Paralimpik menjadi rebutan hari ini, dengan pelbagai acara sukan dimulakan, termasuk memanah, trek dan balapan serta judo, yang dipertandingkan di venue ikonik Tokyo, Budokan.

Atlet Brazil, Yeltsin Jacques menjadi pemenang pingat emas pertama di Sukan Tokyo, menewaskan atlet dari Jepun, Kenya Karasawa untuk merebut kedudukan pertama acara akhir 5,000m lelaki T11.

Jacques, yang mempunyai masalah penglihatan dan berlari dengan mengikut panduan, berkata kemenangan tersebut hasil latihan yang dijalankan selama lima tahun.

“Saya mempunyai kepantasan, tenaga dan semula jadi memang pantas, ia adalah dari genetik,” tambah Jacques, yang turut menyertai acara 1,500m dan maraton dalam kategori T11.

Aksi Yeltsin Jacques selepas melepasi garisan penamat dalam acara akhir 5,000m lelaki T11di Sukan Paralimpik Tokyo, kelmarin.- AFP

Sementara itu rakan senegaranya, Silvania Costa de Oliveira, meraih pingat emas menerusi acara padang, berjaya mempertahankan kejuaraan yang diraihnya semasa di Rio dalam acara lompat jauh wanita T11.

Pada acara sebelah malam, acara yang akan menarik tumpuan ialah acara pecut di mana pelari pecut terpantas dunia, Petrucio Ferreira dos Santos dari Brazil menyasarkan gelaran atlet Paralimpik terpantas dalam sejarah dalam acara 100m T47.

Dos Santos digelar Usain Bolt bagi atlet para, dan mencatatkan rekod dunia iaitu 10.42 saat di Kejohanan Dunia Dubai 2019.

“Apabila saya berada di kejohanan, saya perlu bersikap seperti diri sendiri. Di sini tidak mempunyai perbezaan,” katanya kelmarin.

“Saya mesti menjadi Petrucio dan melakukan apa yang saya gemar iaitu berlari seperti kanak-kanak,” tambahnya.- AFP