Atlet Brunei bersinar di Sarawak

Oleh Fadhil Yunus

BANDAR SERI BEGAWAN, 15 April – Pelari pecut negara Dayang Maziah Mahusin memenangi pingat emas acara 100m Terbuka Wanita dalam Kejohanan Terbuka Belapan dan Padang ke-66 Sarawak di Stadium Petra Jaya, Kuching yang diadakan dari 13 sehingga 14 April lalu.

Pelari pakar jarak sederhana itu mencatatkan masa 13.21saat di depan Dayang Nurfatieah binti Abdullah dari Labuan Athletic Club yang mencatatkan masa 13.36saat dan Eureeka Bawe Justine dari CAT di tempat ketiga.

Pelari Olimpik Brunei itu mengungguli pusingan sebelumnya dengan catatan masa 13.10saat untuk mara ke final.

Maziah juga memenangi pingat perak dalam acara 200m Terbuka Wanita selepas mencatatkan masa 27.18saat di belakang Nurfatieah. Sementara itu, Eppies Anak Jemery dari SMK Tabuan Jaya (A) memenangi pingat gangsa dengan masa catatan 27.97saat.

Pelari negara itu yang kembali beraksi dalam arena serantau mencatatkan masa terpantas separuh akhir dengan catatan 27.82saat.

Sementara itu, atlet kebangsaan, Awang Mohd Faaizul bin Abdullah juga mencatatkan kejayaan memenangi pingat perak dalam acara 100m dengan masa catatan 10.92saat setelah layak ke final dengan catatan 11.10saat di tempat pertama pada separuh akhir. Azman Ak Kiai dari Brunei mendapat tempat pertama dalam separuh akhir dengan masa catatan 11.50saat tetapi tidak cukup untuk mara ke perlumbaan akhir. Dia juga menamatkan tempat kedua dalam separuh masa 200m dengan masa 23.87saat tetapi gagal ke pertandingan akhir.

Awang Mohd Adenin bin Bolhan melengkapkan persaingan Brunei Darussalam dalam lontar cakera dengan mencatatkan lontaran sejauh 35.19m. Delegasi Brunei Darussalam diiringi oleh jurulatih Awang Maqnum Wahab dan Konsulat Agung Brunei Darussalam di Kuching, Awang Muhammad Ghazalle bin Abdul Latif telah menyempurnakan penyampaian hadiah kepada atlet Negara Brunei Darussalam.

Atlet Brunei bergambar ramai bersama jurulatih mereka.