Oleh Fadhil Yunus
BANDAR SERI BEGAWAN, 23 NOV – Brunei Darussalam kelmarin membuat kemunculan pertama dalam acara boling 10 pin dalam Sukan SEA Deaf 2022 di Lite Superbowl JB, Selayang Mall, Kuala Lumpur, Malaysia.
Atlet kebangsaan yang terdiri daripada Haji Mohamad Zin Hasim bin Haji Umar, Mohd Hariz bin Hassan dan Mohammad Nazri bin Haji Hassan bersaing dalam kategori perseorangan lelaki bersama 20 orang pemain lain yang datang dari negara-negara Asia Tenggara.
Haji Mohamad Zin Hasim mendapat tempat ke-16 dengan catatan 930 jatuhan pin, manakala rakan senegara, Mohd Hariz dan Mohammad Nazri masing-masing menjatuhkan 848 dan 769 pin.
Sementara itu, pasangan Haji Mohamad Zin Hasim dan Mohammad Nazri dijadualkan untuk menyertai acara regu.
Pasangan tersebut akan bersaing dengan regu dari negara tuan rumah, Malaysia, serta Filipina dan Singapura.
Malaysia mendominasi acara perseorangan lelaki dengan menyapu bersih ketiga-tiga kedudukan podium. Nethenal Siefgred mendapat pingat emas selepas menjatuhkan 1,199 pin, manakala Zaidi Awang mengutip perak dengan catatan 1,195 jatuhan pin, diikuti oleh Jonathan Ho yang mendapat gangsa dengan 1,177 jatuhan pin.
Temasya ini merupakan kejohanan yang pertama kali diadakan di bawah anjuran bersama Persekutuan Sukan Orang Kurang Pendengaran ASEAN dan Persatuan Sukan Orang Kurang Pendengaran Malaysia.