Atlet ekuestrian sedia hadapi Sukan Asia

KUALA LUMPUR, 17 JUN – Yakin dengan kemahirannya selaku pelatih kuda profesional di Luxembourg, atlet ekuestrian Malaysia, Shoorendran Nageswaran sudah cukup bersedia untuk bersaing di Sukan Asia 2022 di Hangzhou, China.

Terlepas peluang bersaing pada edisi 2018 setelah kudanya mengalami kecederaan yang turut menyaksikan kerjayanya dalam sukan itu berakhir menjelang temasya tersebut, kali ini Shoorendran mempersiap dua kudanya, Ping Pong V dan   Wanskjaers Cuneo, masing-masing berusia sembilan tahun, bagi acara show jumping.

“Saya terlepas edisi terdahulu kerana kuda saya cedera. Untuk temasya akan datang saya bersedia dengan dua kuda bagi menghadapi sebarang kemungkinan, dan saya rasa saya boleh catat keputusan yang baik pada temasya itu,” katanya ketika dihubungi Bernama.  

Mengakui sasarannya untuk menaiki podium pada Sukan Asia memerlukan usaha keras, Shoorendran bagaimanapun yakin dan percaya persiapan yang dilakukannya dapat membantu beliau merealisasikan sasarannya itu.

Atlet berusia 28 tahun itu berkata saban minggu beliau menyertai kejohanan di seluruh Eropah bagi memastikan kuda-kudanya menerima pendedahan yang mencukupi agar boleh dimanfaatkan oleh atlet ekuestrian pada masa akan datang. – Bernama