Oleh Salawati Haji Yahya –
BANDAR SERI BEGAWAN, 5 SEPT – Atlet badminton tempatan telah digantung daripada sebarang penyertaan sukan kejohanan rasmi di peringkat kebangsaan, serantau dan antarabangsa sama ada di dalam atau luar negara selepas sampel pengujian kawalan doping luar pertandingan telah didapati positif atau Adverse Analytical Finding (AAF).
Jawatankuasa Anti-Doping Brunei Darussalam (BDADC), Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) dalam kenyataannya hari ini, memaklumkan sampel ujian itu telah diambil oleh pihak BDADC sebelum Kejohanan Sukan SEA, Phnom Penh 2023.
Manakala, pengesahan keputusan ujian telah diterima dari Makmal Anti-Doping, Doha, Qatar (ADLQ) bagi analisis sampel atlet badminton berkenaan dan dilaporkan penemuan bahan terlarang dalam sampel tersebut iaitu Anabolic Androgenic Steroids (AAS) di bawah kelas S1.1- Drostanolone.
Ia merupakan bahan yang terkandung dalam senarai bahan yang dilarang penggunaannya dalam dan luar waktu pertandingan oleh Agensi Anti-Doping Sedunia (WADA).
Setelah siasatan dijalankan secara terperinci dan telus, Jawatankuasa Pengurusan Keputusan BDADC telah membuat keputusan atlet yang terlibat adalah digantung daripada mengikuti sebarang latihan mahupun melatih atlet dalam sukan badminton bagi tempoh empat tahun.

Walau bagaimanapun atas kerjasama dan pengakuan awal atlet tersebut berkenaan kes ini, tempoh penggantungan tersebut dikurangkan satu tahun menjadikan tempoh penggantungannya menjadi tiga tahun bermula 24 Jun 2023 hingga 24 Jun 2026.
Di samping itu segala pingat kemenangan, kutipan mata dan hadiah kemenangan akan ditarik balik.
Prinsip kebertanggungjawaban mutlak adalah berkaitan dengan atlet tersebut dan ini bermakna atlet berkenaan bertanggungjawab sepenuhnya terhadap bahan yang terdapat dalam sampel air kencing yang diambil semasa pengujian kawalan doping.
Ini tidak kira sama ada atlet itu secara sengaja atau tidak sengaja menggunakan bahan atau kaedah terlarang.
BDADC turut menegaskan setiap atlet dan kakitangan sokongan atlet amat mustahak untuk mengetahui peraturan dan memahami tanggungjawab di bawah Kod Anti-Doping
Dunia.
Berdasarkan Peraturan Anti-Doping Darussalam 2021 dan International Standard for Results Manangement (ISRM), Persatuan Badminton Kebangsaan Brunei Darussalam juga dikehendaki membayar balik kemudahan yang telah diberikan kepada atlet atas perbelanjaan kerajaan semasa menyertai kejohanan Sukan SEA Phnom Penh 2023.
BDADC menjelaskan, ini antaranya elaun sara hidup sebanyak $300 dan tiket penerbangan sebanyak $1,930.
Dalam perkara ini, BDADC menyeru kepada pihak-pihak yang terlibat dalam sukan untuk sentiasa berwaspada mengenai perkara yang boleh melibatkan doping dalam sukan.