Atlet karate gah di KK

BANDAR SERI BEGAWAN, 10 SEPT – Tujuh orang ahli Persatuan Karate Shitoryu Brunei Darussalam mengharumkan nama negara apabila berjaya membawa pulang tiga pingat emas dan empat gangsa di Kejohanan Karate Terbuka SKAS kali kedua 2019 baru-baru ini.

Tiga pingat emas tersebut masing-masing diraih oleh Mohd Amirul Azri bin Ali Amzah bagi Kategori Kumite Persendirian Senior Lelaki -84kg, Sallyanasuby Isal dalam Kategori Kumite Persendirian Senior Perempuan +68kg dan Dania Hana Sofea binti Haji Khallidden dalam Kategori Kumite Persendirian Perempuan bawah 14 tahun.

Sementara itu empat pingat gangsa diraih oleh Siti Amal Nadhirah binti Abdul Latif bagi Kategori Kata Persendirian Senior Perempuan, Mohd Umarali bin Abdullah Mohd Shamsol dalam Kategori Kumite Persendirian Junior Lelaki -55kg, Mohd Jafni Fakhrillah bin Haji Jabidi bagi Kategori Kumite Persendirian Senior Lelaki -75kg dan Rafeequl Hayat bin Dr Abdul Nasir dalam Kategori Kumite Persendirian Lelaki Cadet -70kg. Secara keseluruhannya, Persatuan Karate Shitoryu Brunei Darussalam bimbingan Mohd Nabil bin Abdul Malik berada di kedudukan kelapan dalam kutipan pingat, yang diungguli oleh oleh United Shotokan Karate Labuan dengan mengutip sembilan pingat emas, lima pingat perak dan sembilan pingat gangsa.

Sebanyak 22 penyertaan dari Negara Brunei Darussalam, Malaysia, Indonesia dan Iran bersaing di kejohanan tersebut, di mana masing-masing mewakili kelab-kelab, persatuan, sekolah dan juga pasukan beruniform.

Para atlet negara yang bersaing di Kejohanan Karate Terbuka SKAS kali kedua 2019 baru-baru ini.