Atlet negara akan mulakan latihan

Oleh Ak Zaki Kasharan

BANDAR SERI BEGAWAN, 16 NOV – Dengan bermulanya Fasa Peralihan nanti, kita akan mula dapat menentukan atlet-atlet negara untuk memulakan latihan secara fizikal bagi meningkatkan prestasi mereka.

Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin berkata, memang tidak dinafikan impak COVID-19 sedikit sebanyak telah menjejaskan latihan para atlet kebangsaan negara secara fizikal disebabkan tidak ada sebarang perkumpulan dibenarkan.

“Walau bagaimanapun, para atlet negara turut menjalankan latihan secara maya di rumah masing-masing bersama jurulatih-jurulatih kebangsaan kita,” jelasnya ketika menjawab persoalan mengenai impak sekatan COVID-19 terhadap atlet kebangsaan yang akan menyertai kejohanan tahun hadapan.

Menurutnya lagi, meskipun latihan terus dijalankan secara maya tetapi pencapaian tidaklah sama dan ia tetap memberikan kesan kepada para atlet kebangsaan.

Yang Berhormat Dato juga menyatakan, banyak persiapan perlu dilakukan bagi kejohanan yang dijadualkan berlangsung pada tahun depan.