BANDAR SERI BEGAWAN, 13 Ogos – Pasukan bola sepak kebangsaan bawah 22 tahun, hari ini, berlepas ke Kuala Lumpur bagi menyertai acara Sukan Asia Tenggara (SEA) yang akan berlangsung dari 19 hingga 31 Ogos ini.
Hadir di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei bagi mengucapkan selamat belayar ialah Pemangku Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Kebangsaan Brunei Darussalam (NFABD), Haji Madli bin Mohd Yussof, Action General, Pengiran Mohd Amirrizal bin Pengiran Haji Mahmud, Pengarah Teknikal, Yvon Avry dan kakitangan NFABD yang lain. Terdahulu, Haji Madli dalam ucapannya menasihatkan kepada para atlet supaya sentiasa menjaga tingkah laku semasa pertandingan tersebut berlangsung dan melakukan yang terbaik demi mengharumkan nama negara.
“Para atlet perlu menggunakan sepenuhnya kemahiran yang dipelajari semasa latihan dan apa yang lebih penting ialah para atlet perlulah sentiasa menjaga diri dan kesihatan,” tambahnya.
Dalam pertandingan tersebut, pasukan negara akan bertemu dengan tuan rumah Malaysia pada Isnin ini, Myanmar pada hari Jumaat, Laos pada 21 Ogos dan akan menutup kempen Kumpulan A mereka dengan menentang Singapura pada 23 Ogos. Juga berlepas ke Kuala Lumpur bagi menyertai Sukan SEA semalam ialah pasukan bola jaring kebangsaan, di mana perlawanan bola sepak dan bola jaring adalah antara 14 sukan yang disertai negara pada perlawanan edisi sukan tersebut kali ini.
Para atlet telah dibekalkan dengan latihan sejak Januari lalu untuk Sukan SEA dan memasuki latihan berpusat pada bulan Mac. Negara telah menghantar seramai 105 atlet dan 67 pegawai ke acara tersebut yang akan berlangsung dari 19 hingga 31 Ogos ini.
